NAFI abaikan kerjaya seni apabila sering dilihat bersama kekasih hati.
NAFI abaikan kerjaya seni apabila sering dilihat bersama kekasih hati.
Najiy Jefri


SIAPA sangka selepas hampir tiga tahun mengintai peluang dalam bidang lakonan, kini Dini Schatzmann perlahan-lahan meneroka kerjaya baharu sebagai pengarah fotografi atau DOP.

Mengakui kerjaya belakang tabir lebih memberi kepuasan kepadanya, Dini enggan mensia-siakan minat itu, sekali gus mempelajari setiap ilmu baharu ketika menjalani penggambaran.

Lebih menarik, kekasih pelakon popular, Janna Nick ini turut menjadikan teman wanitanya itu sebagai sumber rujukan dan mengadaptasi ilmu yang dipelajari terhadap kandungan menarik yang dimuat naik di media sosial Janna.

"Minat saya kini lebih terarah kepada dunia belakang tabir. Saya minat untuk mempelajari dunia fotografi dengan lebih mendalam. Jadi, setiap kali saya menjalani penggambaran drama saya selalu bertanya DOP dan kru penggambaran mengenai teknik yang digunakan.

"Bagi saya, kerjaya sebagai DOP ini lebih memberi kepuasan dan ilmu baharu untuk saya pelajari. Malah, ketika saya beritahu Janna mengenai minat saya ini, dia terus ajak berbincang untuk merealisasikan impian saya.

"Alhamdulillah, ketika saya bersama pasukan produksi Janna iaitu JN Studio menjalani penggambaran telefilem London With Love di London bulan lalu, saya diamanahkan untuk bertindak sebagai DOP," katanya.

LEBIH tertarik dengan dunia belakang tabir.
LEBIH tertarik dengan dunia belakang tabir.

Menurut Dini, Janna adalah insan yang jujur dan menegur secara ikhlas terhadap setiap kesilapan yang dilakukan untuk mendidiknya menjadi lebih baik.

"Setiap kandungan di Instagram saya dan Janna dihasilkan oleh saya sendiri. Berpeluang untuk bereksperimen di Instagram Janna mengajar saya menjadi lebih baik.

"Seperti yang semua tahu Janna sangat cerewet dan teliti, jadi saya perlu pastikan setiap video atau gambar yang diambil perlu menepati piawaian yang diperlukan.

"Malah, dia juga boleh dianggap guru kepada saya kerana akan menegur dan marah saya untuk menjadi lebih baik pada masa depan. Kalau saya ambil kelas mungkin tak dapat hasil dengan cepat.

"Namun, sejak saya ikut Janna dan menghasilkan kandungan yang menarik, dia akan komen dengan jujur dan tidak puji saya sebabnya nak saya terus belajar dan tingkatkan ilmu baharu," katanya.

DINI dan Janna belum ada perancangan untuk berkahwin.
DINI dan Janna belum ada perancangan untuk berkahwin.

Nafi jadi 'bayang-bayang' Janna

Ditanya tidakkah dia berasa berada di belakang Janna setiap masa membuatkan orang luar melihat dirinya tidak mempunyai kehidupan dan kerjaya sendiri, Dini berkata, tiada istilah dia tiada kerja lain apabila sering dilihat berkepit dengan Janna, sebaliknya dia memiliki kerjaya dan masa sendiri.

"Sudah tentu saya ada kerjaya saya sendiri. Kalau sibuk dengan penggambaran, saya tiada masa untuk bersama Janna.

"Tapi, kalau memang saya tiada penggambaran, sudah tentu saya akan bersama Janna dan cuba memantapkan teknik kamera yang saya baharu pelajari ini bersamanya.

"Lagipun dia kekasih hati saya, jadi tak salah rasanya kami dilihat selalu bersama. Saya jumpa dia kadangkala untuk kerja saya juga, bukan semata-mata buat kerja untuknya saja," katanya.

Dalam pada itu, Dini berbangga melihat kejayaan demi kejayaan yang diraih kekasihnya itu.

"Seronok melihat Janna kini semakin sukses dan berjaya mengeluarkan pelbagai rangkaian produk keluarannya, White Fluffy.

DINI kini intai peluang kerjaya baharu sebagai pengarah fotografi.
DINI kini intai peluang kerjaya baharu sebagai pengarah fotografi.

"Saya doakan semoga Janna terus berjaya dan memiliki apa saja yang diimpikan dalam hidupnya. Saya akan sentiasa menjadi penyokong dan tulang belakang kerjaya seninya," katanya.

Menyentuh mengenai perancangan untuk ke fasa seterusnya, Dini berkata, tiada apa yang dapat dikongsikan ketika ini.

"Ada banyak perkara yang kami aturkan untuk masa depan hidup kami berdua. Antaranya kami nak kukuhkan kewangan dan stabilkan karier seni saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:20 AM