PENGANJUR masih meneliti mekanisme paling sesuai untuk selesaikan proses itu.
PENGANJUR masih meneliti mekanisme paling sesuai untuk selesaikan proses itu.

Georgie Joseph

[email protected]

APAPUN alasan diberikan oleh penganjur mahupun artis yang menjayakan sesuatu persembahan peraturan atau garis panduan ditetapkan harus dipatuhi.

Begitupun, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menilai sikap artis antarabangsa adalah seperti insiden kejadian tidak sopan dilakukan band dari United Kingdom, The 1975 ketika menjayakan konsert baru-baru ini.

Persatuan Penggiat Festival Antarabangsa (Alife) menyifatkan insiden kontroversi membabitkan The 1975 di Festival Good Vibes (GVF) 2023 baru-baru ini sebagai kes terpencil.

Pengerusinya, Para Rajagopal bagaimanapun berharap ia takkan menjejaskan kemasukan artis antarabangsa ke sini seperti menjadi kerisauan peminat tempatan.

"Saya rasa ini adalah antara strategi menepis persepsi yang berlegar dalam kepala semua mengenai artis (luar) mulai menolak Malaysia.

"Tindakan pantas yang Alife ambil adalah berhubung dengan pihak berkuasa, bina pasukan untuk bekerja dengan mereka, dalam memastikan momentum dibina sepanjang beberapa bulan selepas pandemik.

"Saya rasa apa yang berlaku adalah kes terpencil. Kita semua bersetuju mengenai hal itu. Sepanjang 30 tahun saya terbabit dalam industri, saya tidak pernah lihat hal seperti ini. Beberapa bulan lalu, ramai artis antarabangsa datang dan tiada siapa pun berperilaku sebegitu," katanya.

Para juga berkata perihal penapisan artis untuk membuat persembahan di sini semakin mencabar. Apapun, mereka sebolehnya akan dahulukan aspek kebolehan muzikal artis tertentu.

"Tapi kami juga perlu lebih bagus dalam menapis artis yang datang. Awal dulu, isu yang berlaku sangat jelas apabila membabitkan peraturan seperti penampilan seksi atau tidak. Namun, peraturan itu semakin bertambah dan bertambah.

"Hal itu menjadikan semakin sulit untuk kami menapis mana yang betul atau salah. Kami mengambil mereka kerana kapasiti muzik. Setiap penganjur acara bekerja-keras seperti berjalan atas tali sehingga dapat jayakan acara itu," katanya.

WAN Alman turut memaklumkan proses bayaran balik kepada penonton yang terkesan bakal diumum kelak.
WAN Alman turut memaklumkan proses bayaran balik kepada penonton yang terkesan bakal diumum kelak.

Para bersama Presiden Alife, Rizal Kamal, pemilik Future Sound Asia (FSA), Ben Law, dan Pengarah Hiburan FSA, Wan Alman tampil memberi penjelasan mengenai isu GVF.

Dalam pada itu, kedegilan pengurus jelajah The 1975 dikenal pasti menjadi punca penganjur berdepan kesulitan menghentikan persembahan kumpulan itu di GVF.

Wan Alman berkata disebabkan itu mereka terpaksa memanggil pihak berkuasa selepas pengurus terbabit enggan memberi kerjasama.

"Keputusan menghentikan persembahan itu sepenuhnya bukanlah satu hal yang mudah. Kami tidak buat keputusan sembarangan. Banyak perkara perlu diteliti sebab membabitkan artis dan peminat.

"Jadi, apabila insiden berkenaan (vokalis The 1975 bercium dengan gitaris) berlaku, kami minta 'tour manager' The 1975 untuk hentikan persembahan. Tapi, dia seperti keberatan untuk berbuat demikian.

"Disebabkan ingkar untuk berhenti, kami terus meminta bantuan pihak berkuasa. Kami mengambil beberapa minit untuk menghentikan persembahan berkenaan," katanya.

Wan Alman turut memaklumkan proses bayaran balik kepada penonton yang terkesan bakal diumum kelak. Penganjur masih meneliti mekanisme paling sesuai untuk selesaikan proses itu.

Terdahulu, kerajaan Malaysia membatalkan baki dua hari GVF yang sepatutnya berlangsung pada 21 hingga 23 Julai di Sepang, Selangor, sehingga merugikan ramai pihak.

Vokalisnya Matty Healy membuat persembahan sambil memegang botol arak, menghina undang-undang Malaysia, merosakkan dron, selain bercium dengan pemain bass kumpulan terbabit, Ross MacDonald.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 6:30 AM