Shima
Shima
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Shima, 54, mendedahkan cerita sebenar isu royalti membabitkan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) berhubung bayaran royalti yang belum diterimanya.

Menurutnya, dia mula menjadi ahli RPM semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.

"Saya dijanjikan RM500 oleh RPM apabila tandatangan sebagai ahli mereka. Bayaran itu bersifat 'one off'. Apabila ditanya selepas itu, mereka kata individu terbabit dah berhenti.

"Saya pelik kerana ini janji dari RPM bukan individu terbabit. Kenapa orang lain dapat sedangkan saya tak dapat.

"Permintaan mereka nak minta cover album, senarai komposer dan macam-macam lagi syarat untuk urusan royalti memang menyusahkan.

"Dulu ada grup WhatsApp RPM termasuk kakitangan mereka. Semua ada dalam itu. Siapa yang dapat royalti akan seronok," katanya kepada Harian Metro.

Shima berkata, dia kemudian bertanya Alfa Booty, (salah seorang Ahli Lembaga Pengarah) berkenaan royalti dan diberi jawapan akan menerimanya selepas setahun jadi ahli.

"Baru-baru ini saya mesej dia dan dia diam sahaja langsung tak balas. Itu yang buat saya kecewa. Mereka cakap pusing-pusing.

"Bila berita ini keluar di media barulah RPM nak hubungi saya. Kakitangannya bernama Liza hubungi saya beritahu akan dapat tahun ini tapi tak tahu bila.

"Alasan mereka, perlu dengar laporan dari pihak yang memainkan lagu saya. Habis apa yang mereka buat selama ini? Lagu saya kerap dinyanyikan di karaoke dan dimainkan di radio, takkanlah tiada royalti," katanya kecewa.

Shima yang popular menerusi lagu Teringin berkata, penyanyi lain mungkin sudah kaya raya dan tidak fikirkan mengenai royalti tetapi dia susah dan sangat perlukan wang.

"Liza pun dah tak hubungi saya untuk maklumkan perkembangan lanjut. Sebenarnya mungkin mereka boleh fikirkan dahulukan duit royalti memandangkan dah pasti saya ada royalti dari kutipan yang dibuat.

"Susah sangatkah nak selesaikan perkara ini? Saya cuma nak hak saya kerana saya sekarang tiada apa-apa," katanya.

Shima kini membuka akaun TikTok, Shima Teringin Official dan mengharapkan sokongan peminat untuk mengikutinya.

"Setakat ini ada sekitar 100 pengikut yang diraih menerusi bantuan seorang sahabat bernama Din Toyol.

"Saya mengharapkan ada pengikut mencecah 1,000 orang kerana nak berkongsi pengalaman secara 'live' berkenaan dunia hiburan tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 12:42 PM