SHIMA usangat terhutang budi dengan adik angkatnya, Chan See Mei.
SHIMA usangat terhutang budi dengan adik angkatnya, Chan See Mei.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Shima, 52, sangat terhutang budi dengan adik angkatnya, Chan See Mei yang banyak memberi semangat terutama ketika dia mengalami masalah kesihatan, baru-baru ini.

Shima berkata, See Mei yang kini menetap di California, Amerika Syarikat turut membantunya membayar kos rawatan akupuntur untuk masalah slip dics dialaminya sebelum ini.

"Kosnya mahal tapi dia sanggup bayar kerana nak tengok saya sihat walaupun bukan sepenuhnya sembuh. Walaupun dia berbangsa Cina, pertolongannya atas dasar sesama manusia. Malah, dia anggap saya sebagai kakak," katanya.

Menurut Shima, See Mei asalnya adalah salah-seorang peminat yang cukup meminatinya sejak bersekolah.

"Dia ada tunjukkan gambarnya bersama poster saya untuk album pertama Di Sebalik Sejuta Wajah. Tak sangka sampai begitu sekali dia meminati saya," katanya.

Menurutnya, perkenalan mereka bermula apabila See Mei menghubunginya menerusi WhatsApp.

"Katanya dia dapat nombor dari Instagram saya yang lama dan suarakan hasrat nak bagi bantuan untuk belanja.

"Lama kelamaan kami rapat. Dia pernah pulang ke sini tahun lalu dan kami sempat jumpa. See Mei banyak bagi dorongan dan semangat untuk saya," katanya.

Baru-baru ini See Mei menghadiahkan Shima peralatan memasak iaitu pengadun atau 'mixer' sekali gus merangsang semangat Shima untuk memulakan perniagaan makanan secara dalam talian.

"Dia kata saya suka masak, buat kek dan biskut. Jadi saya boleh buat sesuatu yang saya suka.

"Sebelum ini saya pernah muat naik beberapa gambar makanan di laman sosial dan ada yang berminat. "Saya kemudian terfikir nak mula berniaga dari rumah. Mulai sekarang saya nak berdikari menggunakan kemahiran yang ada," katanya.

Shima berkata, buat permulaan dia menghasilkan makanan Barat iaitu creamy Australian lamb shank dan kentang lenyek.

"Harganya RM90 untuk satu set dan setakat ini saya sudah menerima beberapa tempahan. Saya gembira dengan sambutan yang diberikan," katanya.

Shima, banyak lagi menu yang akan dihasilkan selepas ini antaranya kek, biskut dan gubahan bunga.

Shima mengakui mempunyai kebolehan memasak termasuk makanan Barat kerana pernah berkahwin dengan warga Kanada pada 2003.

Sebelum ini, dia pernah mengusahakan Warung Teringin berhampiran kediamannya di Damansara Damai pada 2018, namun terpaksa ditutup akibat masalah kesihatan selain berdepan gangguan misteri.

"Saya berharap peminat menyokong perniagaan saya dan tempahan boleh dibuat menerusi mesej pesanan di Instagram shimateringin_official dan Facebook Ku Nazhatul Shima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 4:20 PM