SHIMA
SHIMA
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pada usia 54 tahun serta keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, menyanyi bukan lagi keutamaan buat Shima.

Disebabkan itu, Shima yang popular dengan lagu Teringin mengambil keputusan melupakan seketika bidang nyanyian dan ambil inisiatif mencari rezeki menerusi jualan makanan secara dalam talian.

Shima berkata, dia memasak kuetiau sup special, mi jawa, soto ayam dan bakso di rumah dan menjualnya secara dalam talian kepada mereka yang berminat.

"Semua resipi ini saya buat sendiri hasil pemerhatian terhadap individu terdekat antaranya mentua yang pandai masak.

"Saya ada buat beberapa testimoni kepada beberapa rakan terdekat. Syukur mereka puji hasil masakan saya. Itu yang saya yakin nak jual kepada pembeli," katanya.

Shima berkata, mereka yang berminat boleh menghantar WhatsApp ke nombor 017-6085282 untuk tempahan dan perlu ambil sendiri di Pangsapuri Lestari, Damansara Damai.

Shima berkata, mereka yang tinggal berjauhan boleh menguruskan pengangkutan sendiri untuk ambil makanan di tempat kediamannya.

Sebelum ini, Shima pernah membuka Warung Teringin yang menjual masakan nasi berlauk pada 2018.

Bagaimanapun perniagaan ini tidak bertahan lama apabila Shima diserang penyakit misteri dan warungnya 'terhijab' pada 2019.

Dia juga ditimpa sakit belakang yang agak serius menyebabkan terpaksa menutup warung buat sementara waktu selain tulang bengkak dan terpaksa makan ubat.

Shima akhirnya mengambil keputusan menutup terus Warung Teringin apabila warung terbabit runtuh akibat ribut.

Dia juga berdepan masalah cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) yang dihidapi sejak 2013, selain terpaksa memakai lampin pakai buang bagi memudahkan urusan hariannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 3:49 PM