APRENA Manrose
APRENA Manrose
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Bukan senang nak istiqamah kerana ada cabarannya. Banyak beristighfar dan niat pakai tudung kerana Allah SWT," kata pelakon, Aprena Manrose, 29, yang mula bertudung sejak dua tahun lalu.

Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, sebagai selebriti dia berdepan cabaran apabila memutuskan untuk tampil bertudung.

"Cabaran memang ada sebab saya sendiri melaluinya. Mula-mula dulu, saya pakai tudung labuh dan sekarang dah singkat sikit.

"Saya akui memang ada perasaan untuk kembali dengan imej lama bila kita tengok gambar-gambar sebelum bertudung. Namun, saya terus istighfar dan betulkan niat berhijab kerana Allah SWT," katanya.

Aprena berkata, dia tidak berani untuk komen mengenai tindakan orang lain yang sudah bertudung, tetapi membukanya semula kerana setiap individu perjalanan hidup mereka berbeza.

"Itu antara mereka dengan Allah SWT. Mungkin satu hari nanti dia akan sedar dan akan memakai semula tudung kerana iman kita memang ada turun dan naik," katanya.

Pada masa sama, kata Aprena, dia sendiri mahu peminat mendoakan dirinya supaya kekal dengan penampilan bertudung dan menutup aurat.

"Saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Saya mohon anda semua doakan untuk saya terus kekal istiqamah," katanya.

Terdahulu, foto dan video Aprena memakai niqab dalam persalinan berwarna hitam tular di TikTok tahun lalu.

Penampilan Aprena itu mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya mendoakan dia kekal dengan imej sedemikian.

Namun, Aprena tampil memberi penjelasan, dia belum berniqab dan tampil dengan imej sedemikian kerana menghadiri kelas agama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:38 AM