SONAONE (kanan) dan Alif. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SONAONE (kanan) dan Alif. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

Tidak saja berkawan baik, penyanyi hip hop yang juga komposer terkenal SonaOne dan Alif Sleeq memiliki misi yang sama iaitu mahu menyalurkan mesej positif kepada penggemar muzik tanah air.

Selepas kolaborasi single pertama dalam bahasa Inggeris berjudul Obvious pada tahun lalu, SonaOne dan Alif kembali dengan bingkisan single kedua, Pun Boleh dalam bahasa Melayu tahun ini.

Menurut SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 30, dia dan Alif tampil dengan lagu Pun Boleh agar dapat menyalurkan semangat kepada mereka yang ingin melakukan sesuatu tetapi tidak mampu.

“Saya berdepan cabaran ketika menghasilkan lagu Pun Boleh kerana bahasa Melayu bukan bahasa pertama di rumah. Mujur, Alif dan Joe Flizzow banyak membantu ketika mencipta lagu ini.

“Walaupun pada mulanya sukar, saya seronok melakukannya. Proses rakaman lagu ini berjalan lancar di studio pada tahun lalu,” katanya.

Ditanya kenapa dia terpanggil untuk menghasilkan lagu dalam bahasa kebangsaan, kata penyanyi berdarah kacukan Perancis-Melayu ini, dia juga mahu dikenali dalam pasaran muzik Melayu dan bukan lagu Inggeris semata-mata.

“Saya mahu kedua-duanya bergerak seimbang dan tidak dikenali dalam kalangan penggemar muzik ‘urban’ saja.

“Malah, saya mula bercakap dalam bahasa Melayu kira-kira lima tahun lalu.

“Saya menuntut di sekolah antarabangsa Perancis dan hanya belajar bercakap bahasa Melayu dengan kawan-kawan pada usia 16 tahun,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Alif pula, SonaOne berkata, dia banyak menghasilkan lagu dengan bekas anggota Sleeq itu di studio.

“Kami sudah banyak menghasilkan lagu bersama sejak Alif masih bersama Sleeq lagi. Namun, selepas dua tahun Alif bergerak solo baru kami merancang untuk menghasilkan single duet termasuk album duo.

“Projek ini dihasilkan kerana minat mendalam terhadap muzik. Sama ada ia boleh mengatasi populariti lagu Apa Khabar duet dengan Joe Flizzow, saya serahkan pada penilaian peminat. Apa yang penting, kami akan terus berkarya,” katanya.

SONAONE (kanan) dan Alif. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SONAONE (kanan) dan Alif. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Alif harap percaturan dengan SonaOne menjadi

Sementara itu, Alif menjelaskan kolaborasi itu tidak bermakna dia sudah membentuk sebuah kumpulan dengan SonaOne.

Namun, ia kerjasama dua rakan karib yang berkongsi minat sama.

“Saya sudah kenal SonaOne lebih 10 tahun ketika masih bersama Sleeq lagi. Saya juga menumpang di rumahnya dan Joe Flizzow ketika mula-mula datang ke Kuala Lumpur untuk membina nama dulu.

“Justeru, saya tidak berfikir panjang apabila ada peluang kami menghasilkan single dan album duo. Bagi saya, SonaOne adalah penyany hip hop dan komposer berbakat besar malah sentuhannya pasti menjadi,” katanya.

Berkongsi pengalaman merakamkan lagu Pun Boleh, Alif mengakui ia proses yang mudah.

“Muzik beri inspirasi dalam karier kami setiap hari. Malah, kami juga hanya mengambil tempoh dua jam untuk merakamkan satu lagu di studio.

“Sama ada lagu Pun Boleh itu dapat sambutan atau sebaliknya, kami berserah.

“Sebenarnya, tiada formula khusus untuk menghasilkan muzik yang bagus. Sebagai komposer, kami buat kajian terkini untuk menghasilkan lagu mengikut cita rasa muzik semasa,” katanya.

Lagu Pun Boleh sudah dimuat naik ke YouTube serta boleh didengari menerusi semua pelantar digital bermula 18 Januari lalu.

Terdahulu, Alif dan SonaOne sudah menghasilkan 40 lagu sepanjang setahun bekerjasama. Bagaimanapun, mereka hanya memilih 15 lagu terbaik untuk album duo.

Manakala, lagu Obvious adalah single pertama yang dimuatkan dalam album sulung mereka berjudul Detail. Ia juga memuatkan 11 lagu Inggeris dan empat lagu bahasa Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:35 AM