JATT. FOTO Genes Gulitah
JATT. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Saya bukanlah seorang yang serius dan sukar didekati. Cuma saya seorang yang pendiam jika tidak ditegur atau diajak berbual.

"Takkanlah saya nak hey...hey setiap kali berjumpa orang. Kalau diajak berbual saya okey sahaja tanpa masalah."

Demikian kata penyanyi, Jatt Ali mengulas sikapnya yang dikatakan suka menyendiri dan mengelakkan diri daripada publisiti media.

Jatt, 67, atau Tahir Ali yang juga bekas penyanyi kumpulan Black Dog Bone berkata, populariti dirinya meningkat naik apabila menyertai Gegar Vaganza (GV) musim keenam pada 2019 dan menduduki tempat ketiga. 

"Ketika masuk GV, bilangan pengikut saya naik secara tiba-tiba. Platform pun dah ada untuk kekal relevan di hati peminat. Cuma tiada rezeki kerana berlaku Covid-19 selama tiga tahun.

"Tiada tawaran kerja dan semua kansel. Tapi alhamdulillah kehidupan saya okay guna duit kemenangan GV, disamping beberapa tawaran kecil yang ada. Apapun saya bersyukur rezeki tetap ada," katanya. 

Menurutnya yang popular dengan lagu Khayalan, popularitinya kembali memuncak apabila tampil dengan program Travelawak : Projek Bapak Bapak baru-baru ini.

"Alhamdulillah...itu rezeki apabila saya boleh pergi Jepun. Saya pun tak sangka diundang dalam program yang turut membabitkan Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ramli MS dan Roy Azman ini. 

"Nampaknya peminat pun suka tengok gandingan kami. Mereka puji kata best dan program ini bagus. Masa saya buat persembahan di Perth, Australia baru-baru ini pun, peminat sana kata sukakan program ini. 

"Mereka kata saya kelakar dalam program ini dan bagi saya ia dah memuaskan hati," katanya. 

Terbaru, Jatt bersyukur apabila ditawar terbabit dengan album kompilasi Semangat Zaman 3 bersama Datuk Nash dari kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Aris (Ariwatan), Rahmad (Mega), Muss, Yantzen dan Bandi (Amuk) terbitan komposer LY. 

"Saya juga akan menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-20 album Semangat Zaman yang diterbitkan pada 2004 di Zepp Kuala Lumpur pada 29 September depan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 2:33 PM