ANUAR Zain tampil dengan prinsip serta identiti tersendiri dalam Konsert Anuar Zain 40th Anniversary. - FOTO Aziah Azmee
ANUAR Zain tampil dengan prinsip serta identiti tersendiri dalam Konsert Anuar Zain 40th Anniversary. - FOTO Aziah Azmee
Zaara Talita


KONSERT Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur tahun lalu membuatkan Anuar Zain, 53, cukup teruja dapat berinteraksi bersama peminatnya.

Anuar berkata, dia berterima kasih dengan maklum balas positif daripada peminat.

Justeru, dia berjanji akan memperbaiki setiap kelemahan untuk Konsert Anuar Zain 40th Anniversary di Stadium Malawati, Shah Alam Oktober depan.

Sentiasa tampil dengan prinsip dan identiti tersendiri, Anuar berkata, tidak akan ada sebarang gimik dalam konsert anjuran JioBuddy itu, sebaliknya tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada persembahan

di pentas.

Anuar menegaskan, sejak dulu elemen gimik tidak pernah menjadi pilihannya dalam menarik perhatian umum atas apa tujuan sekalipun.

"Saya ada terbaca apabila ada peminat yang hadir ke konsert lalu memberi maklum balas saya dan Ziana banyak berborak. Bukan apa, teruja rasanya selepas pandemik dapat meluangkan masa bersama para peminat, tetapi saya ambil semuanya untuk masa akan datang.

"Fokus saya hanya untuk tampilkan nyanyian, muzik dan persembahan yang bagus untuk penonton yang hadir. Tiada elemen gimik yang akan dilakukan untuk konsert ini kerana saya seorang yang tidak pandai buat gimik dan sukakan persembahan 'straight forward'.

"Saya sukakan sesuatu yang spontan bersama peminat. Jadi interaksi dan respons yang diberikan pada malam persembahan itu akan menjadi sesuatu yang menarik untuk kita raikan dan jadikan memori untuk dikenang nanti," katanya.

Anuar yang cukup diminati ramai peminat wanita itu mahu peminat datang ke konsertnya dengan hati yang terbuka untuk menikmati persembahan.

Malah, penyanyi itu juga menjanjikan yang terbaik menerui dendangan lagu-lagu popularnya seperti Lelaki Ini, Perpisahan, Bila Resah, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan banyak lagi.

"Saya hanya mahu peminat datang menikmati persembahan saya dengan sebaiknya. Sama-sama menyanyi, menari dan menyertai kemeriahan bersama-sama.

"Atas sebab itu saya dan pasukan produksi kini sibuk membuat persiapan terbaik untuk anda semua," katanya.

Tempoh 40 tahun merentasi industri seni tanah air bukanlah satu perjalanan singkat buat Anuar.

Bermula daripada seorang penyanyi kanak-kanak pada 1983 sehinggalah menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi, Anuar mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan penggemar muzik sepanjang kerjaya seninya.

Mengakui terharu masih diterima sehingga ke hari ini, Anuar bakal menghadiahkan persembahan istimewa bersempena 40 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Anuar berkata, konsert itu juga satu penghargaan buat peminat yang sentiasa mendukung kerjaya seninya.

"Saya mengimpikan agar konsert ini akan menjadi kenangan terindah di antara kita semua pada malam itu nanti. Bukan buat peminat saja, malah buat saya sendiri.

"Konsert ini sangat istimewa dan ia sebagai tanda apresiasi saya kepada peminat yang selama ini sentiasa ada bersama sepanjang perjalanan 40 tahun saya dalam industri muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 6:51 AM