Pasangan adik beradik Anuar Zain dan Zaina Zain berkolaborasi dalam konsert Live In Kuala Lumpur akan diadakan di Plenary Hall, Pusat konvensyen KL (KLCC) ketika mengadakan sidang media di Le Meridien Kuala Lumpur. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Pasangan adik beradik Anuar Zain dan Zaina Zain berkolaborasi dalam konsert Live In Kuala Lumpur akan diadakan di Plenary Hall, Pusat konvensyen KL (KLCC) ketika mengadakan sidang media di Le Meridien Kuala Lumpur. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama dinantikan peminat, akhirnya pasangan penyanyi adik-beradik hebat, Ziana Zain, 54, dan Anuar Zain, 52, bakal bergabung buat pertama kali mengadakan konsert bersama pada 6 Ogos ini.

Konsert yang dinamakan Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu akan diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Berkongsi keterujaan itu, Anuar berkata, dia cukup gembira apabila impian mengadakan konsert bersama kakaknya itu akhirnya menjadi kenyataan.

"Ini adalah sejarah yang cukup manis. Kali terakhir kami bergabung membuat persembahan yang sebenar adalah lebih 12 tahun lalu.

"Memang permintaan ini sudah sekian lama peminat mahu. Namun, sekarang barulah jadi kenyataan kerana masanya cukup tepat selain kata sepakat antara kami berlaku sangat mudah," katanya.

Ziana pula tidak menafikan memang tidak sabar untuk menjadikan konsert itu sebuah kenangan termanis buat peminat mereka berdua.

"Pemilihan lagu yang kami buat turut mengambil kira permintaan peminat. Memang sukar, namun apa kami bakal sajikan di pentas nanti adalah persembahan paling luhur dan diingati.

"Gabungan ini juga berkat doa ramai yang selama ini impikan saya dan Anuar bergabung di atas pentas. Semoga peminat yang datang nanti akan puas dengan keseluruhan persembahan kami," katanya.

Ziana dan Anuar bakal mempersembahkan lebih 20 lagu pada konsert itu nanti. Mereka akan menyanyikan lagu popular masing-masing serta beberapa lagu duet.

Tiket konsert berharga RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1,188 boleh dibeli menerusi laman web www.excitix.com.my. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi nombor telefon 010-309 8998.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 11:17 AM