Liyana Jasmay
Liyana Jasmay
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Liyana Jasmay, 35, mengambil iktibar dan menitikberatkan banyak hal berhubung kesihatan kerana kemungkinan menghidap kanser.

Liyana berkata, keluarganya memang ada genetik kanser dan disebabkan itu dia perlu berhati-hati dalam hal termasuk pemakanan dan pemeriksaan kesihatan berkala.

"Sebab keluarga kami memang genetik kanser, bapa kanser paru-paru, mak kanser otak, ibu saudara kanser payudara, perlu buat pemeriksaan penanda kanser.

"Kena titik beratkan pasal pemakan, elak gula, makanan diproses, makan sihat. Apa yang kita makan adalah apa yang akan tinggal dalam diri kita kan. Jadi, jaga-jagalah," katanya.

Kehilangan ibunya Datin Habsah Simpon pada 11 Mei lalu memberi tamparan mengejut pada Liyana. Katanya, tumor pada bahagian otak ibunya yang di kesan memang tidak disangka.

"Selepas menjalani satu pembedahan, suami saya yang perasaan dia jalan senget kat rumah. Pada hari kami hantar dia untuk pemeriksaan, tiba-tiba dapat tahu dia ada tumor.

"Sebab itu mata dia sakit selama tiga tahun. Kami pun mana tahu sebab bila sakit mata, pergi periksa mata, bukan pergi buat imbasan otak.

"Pengalaman mengajar kita. Apa-apapun, kita kena buat pemeriksaan penuh," katanya.

Terdahulu, bapa tercinta pelakon itu, Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia pada Disember 2021 akibat kanser paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 2:03 PM