RUJUK pakar untuk penjagaan kesihatan haiwan peliharaan.
RUJUK pakar untuk penjagaan kesihatan haiwan peliharaan.
Muhamaad Razis Ismail


Seperti manusia, haiwan peliharaan turut terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang berpunca daripada beberapa faktor termasuk genetik, pemakanan dan persekitaran.

Sebagai pemilik, mempunyai pengetahuan berkenaan jenis penyakit yang biasa menyerang haiwan peliharaan adalah satu keperluan.

Menerusi pengetahuan itu, kita bukan sahaja dapat mengambil langkah pencegahan, malah dapat membantu membuat pengesanan dan rawatan awal untuk menyelamatkan nyawa haiwan kesayangan.

Oleh itu, kita perlu peka dan bertanggungjawab dengan memberi penjagaan optimum kepada haiwan peliharaan.

Sebagaimana manusia, haiwan turut berisiko menghidap antara penyakit yang paling ditakuti iaitu kanser.

Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan, Dr Sujey Kumar Rajendren berkata, haiwan yang mengalami kanser dapat dikesan menerusi pertumbuhan tumor sekiranya dilakukan pemeriksaan lebih awal.

MEROKOK antara punca haiwan peliharaan menghidap kanser.
MEROKOK antara punca haiwan peliharaan menghidap kanser.

Katanya, jangka hayat haiwan peliharaan yang pendek menyebabkan kanser boleh dikenal pasti lebih cepat.

"Pada awal 1980, sekumpulan penyelidik di Philadelphia diketuai Lawrence T Glickman daripada Sekolah Perubatan Veterinar, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat menyatakan bahawa manusia yang terdedah kepada asbestos menjurus kepada kanser paru-paru seawal 20 tahun selepas pendedahan.

"Bagaimanapun, anjing yang terdedah kepada asbestos menunjukkan pertumbuhan kanser ini dalam masa sembilan tahun selepas pendedahan.

"Beliau menyatakan lagi bahawa perkara ini boleh diguna pakai untuk mengenal pasti kanser pada manusia jika terdapat kanser pada haiwan.

"Hasil dapatan kajian ini digunakan untuk mengenal pasti kesan dan kadar pendedahan asbestos berpanjangan terhadap manusia," katanya.

KANSER mamari yang dihidapi kucing.
KANSER mamari yang dihidapi kucing.

Mengulas lanjut, kanser pada haiwan termasuk kanser tulang, kanser payudara (mammari), kanser prostat dan kanser kulit.

"Doktor veterinar mengenal pasti pertumbuhan tumor pada haiwan ini dengan melakukan pemeriksaan sitologi iaitu pemeriksaan bentuk sel yang diambil dari ketumbuhan.

"Selain itu, doktor veterinar juga akan menjalankan biopsi iaitu pemeriksaan tisu kanser untuk memahami keadaan dan tahap keterukan sesuatu kanser," katanya.

Dr Sujey berkata, terdapat beberapa amalan biasa dilakukan pemilik haiwan peliharaan yang mungkin menyumbang kepada masalah kanser pada haiwan kesayangan mereka termasuk pengembirian pada organ reproduktif haiwan untuk menghalang pembiakan.

"Pengembirian pada anjing jantan boleh meningkatkan prevalen kanser prostat. Tetapi, jika tidak melakukan pengembirian, maka ia meningkatkan prevalen kanser testis.

ANJING antara haiwan peliharaan yang berisiko terkena kanser.
ANJING antara haiwan peliharaan yang berisiko terkena kanser.

"Bagaimanapun, pemilik haiwan peliharaan tidak perlu panik kerana ada banyak lagi faktor risiko yang mengakibatkan kanser seperti baka, umur, berat badan dan sebagainya.

"Oleh itu, pemilik haiwan peliharaan perlu mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan haiwan atau veterinar untuk mengetahui kesan pengembirian ini dengan lebih lanjut," katanya.

Jelasnya, selain itu, amalan yang biasa dilakukan pemilik menjadi punca kanser terhadap haiwan termasuk merokok.

"Penggunaan bahan kimia seperti cecair pembasuh lantai boleh meningkatkan risiko kanser terhadap haiwan peliharaan," katanya.

Beliau berkata, rawatan kanser pada haiwan peliharaan boleh dilakukan melalui kemoterapi atau pembedahan mahupun kombinasi antara kedua-dua kaedah ini (pembedahan dan kemoterapi).

"Pada masa kini, kemajuan dalam bidang pembedahan memberi kelebihan kepada pakar haiwan untuk merawat haiwan peliharaan yang terkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 6:20 AM