HAIL dan Sanisah legenda ikonik.
HAIL dan Sanisah legenda ikonik.
Georgie Joseph


KONSERT Raya Sepanjang Zaman yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini berjaya membuai kira-kira 800 penonton dengan nyanyian lagu raya ikonik dalam versi orkestra.

Alunan simfoni merdu dimainkan 65 pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose bersatu sempurna dengan nyanyian Datuk Hail Amir, Sanisah Huri, Ziana Zain dan Bob Yusof.

Tidak disangkal, magnet terhadap lagu raya klasik sentiasa melekat kukuh dalam masyarakat Malaysia. Justeru, tidak sukar untuk 'memanaskan' suasana sedari permulaan konsert pada jam 8.30 malam itu.

Hakikatnya, sebelum keempat-empat penyanyi berkenaan muncul kelibatnya di pentas, penonton sudah mula 'meremang' dengan keindahan pasukan MPO mengalunkan beberapa melodi lagu raya popular.

Menjadi medan pertembungan tiga generasi penghibur berbeza, konsert dimulakan dengan nyanyian Bob. Meskipun paling baharu antara semua penyanyi, ternyata dia ada kuasa pukaunya tersendiri.

Kuasa itu tidak lain menerusi kelunakan suara selain corak pembawaan mengikut cara sendiri terhadap tugasan lagunya.

Menurutnya, peluang menyanyi dengan orkestra penuh dan penyanyi idola terlalu besar maknanya.

"Sebelum ini pernah beraksi di DFP, tapi konsepnya berbeza iaitu keroncong. Dapat menyanyi dengan orkestra yang begitu megah adalah antara impian jadi kenyataan. Ditambah pula beraksi dengan penyanyi yang saya dengar dan sanjung sejak kecil.

"Berdebar itu tak payah cakap, memang rasa. Tapi, Kak Ziana pesan supaya menyanyi saja seperti di persembahan makan malam macam biasa. Baru perasaan gementar itu tak rasa dan menghibur pun jadi semula jadi," katanya.

Antara lagu didendangkan Bob adalah Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad dan Aidilfitri dendangan kumpulan Black Dog Bone.

Agak mengejutkan, Ziana sendiri maklumkan bahawa konsert itu adalah yang julung kali buatnya bernyanyi dengan orkestra penuh di DFP.

Menurutnya, dia sudah menunggu lama dapat peluang besar berkenaan.

"Ini adalah rezeki. Tak kisah tunggu lama mana pun, saya bersyukur impian akhirnya jadi kenyataan," katanya.

Tampil dengan persalinan kebaya songket pada malam itu, Ziana cukup bersahaja, namun tetap sajikan vokal hebat menyanyikan lagu Indah Di Hari Raya dan Hari Mulia.

Dia turut berduet dengan Bob menerusi 'medley' Selamat Hari Raya dan Hari Yang Mulia nyanyian asal Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini.

Apa pun, kemunculan Hail dan Sanisah semestinya memberikan satu getaran berbeza pada penonton malam itu. Mana tidak, kedua-duanya legenda sepanjang zaman dan Sanisah sendiri datang jauh dari Singapura.

Tidak dinafikan, ada kekangan sedikit daripada segi nyanyian mereka seperti tempo, namun langsung tidak mencacatkan persembahan. Bahkan, penonton begitu 'sporting' memberi sorakan semangat dan menyanyi bersama mereka.

Sanisah menyanyi lagu Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Suasana Riang Di Hari Raya dendangan asal Junainah M Amin.

"Pertama kali menyanyi dengan orkestra hebat begini, gementar saya. Tapi, dengan bantuan pengarah muzik, segalanya jadi lebih lancar. Saya gembira sangat dengan peluang keemasan diberi ini," katanya.

Hail pula menyanyikan Menjelang Hari Raya serta 'medley' Dendang Perantau dan Suara Takbir nyanyian asal Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Turut hadir menyaksikan konsert itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:45 AM