Ebby Yus.
Ebby Yus.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Ebby Yus, 58, memaklumkan Allahyarham Ridzuan Hashim ada bertanya kepadanya mengenai rawatan sakit jantung pada awal tahun lalu.

Ebby ketika ditemui berkata, dia berkongsi pengalaman dan proses rawatan yang dijalaninya dan sejak itu, mula tahu bahawa arwah menghidap penyakit jantung.

"Lebih kurang pada awal tahun lalu, arwah ada bertanya kepada saya mengenai sakit jantung yang saya alami.

"Jadi, dia bertanya mengenai proses rawatan saya. Saya maklumkan kepadanya bahawa saya menggunakan rawatan daripada doktor di samping rawatan alternatif.

"Kemudian, arwah juga bertanya mengenai keadaan kesihatan saya yang terkini dan saya maklumkan bahawa saya okay.

"Sejak itulah saya tahu bahawa dia juga mengalami masalah jantung. Saya beritahu dia, kalau nak cuba dapatkan rawatan dan sebagainya, boleh hubungi saya dan saya akan bantu mana yang patut.

"Tapi, sejak itu arwah pun tak ada menghubungi saya dan saya anggap dia mungkin dah dapat tempat untuk rawatan," katanya kepada Harian Metro.

Ebby ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur berkata, dia mendapat tahu mengenai berita pemergian Ridzuan daripada bekas isteri arwah yang juga pelakon Didie Alias.

Ditanya mengenai keperibadian arwah, Ebby menggambarkan Ridzuan sebagai individu yang mudah didekati.

"Saya tak pernah berlakon dengan arwah, tetapi memang agak rapat sebab dia dan abang saya pernah sama-sama menjadi model. Bahkan saya dah mula kenal arwah sejak sebelum dia berkahwin dengan Didie lagi.

"Secara peribadi, arwah adalah individu yang sangat mudah didekati dan senang di ajak berbual. Bahkan, kalau ada benda berkaitan masalah peribadi pun dia boleh jadi pendengar," katanya.

Ridzuan disahkan meninggal dunia pagi ini ketika sedang bersarapan di kediamannya sebelum dibawa ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 5:20 PM