DATUK Mohammad Aliff (tengah) menjelaskan mengenai pembatalan acara itu kepada peniaga, semalam.
DATUK Mohammad Aliff (tengah) menjelaskan mengenai pembatalan acara itu kepada peniaga, semalam.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Akibat penaja utama menarik diri, karnival jualan sempena Aidilfitri yang sepatutnya bermula hari ini hingga Jumaat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, dibatalkan di saat akhir semalam.

Ketua Pengarah Eksekutif Tenview (M) Sdn Bhd yang juga penganjur karnival itu, Datuk Mohammad Aliff Hakim berkata, situasi itu menyebabkan bayaran untuk lokasi acara tidak dapat dilunaskan.

Mohammad Aliff yang mengadakan pertemuan dengan peniaga-peniaga yang terkesan malam tadi berkata, mereka akan mengembalikan wang kepada peniaga tetapi turut memberikan pilihan buat mereka.

"Peniaga mempunyai pilihan untuk mendapatkan bayaran balik atau menunggu tarikh acara berikutnya yang akan diumumkan nanti. Penganjur akan membuat pertemuan bersama semua peniaga untuk urusan bayaran balik jam 2 petang hari ini di WTCKL," katanya.

Terdahulu, peniaga-peniaga yang sudah menempah gerai jualan raya di karnival itu meluahkan rasa kecewa apabila ia dibatalkan saat akhir.

Pengumuman itu dibuat pihak WTC yang turut tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian berlaku.

Malah, ada peniaga dari Seremban yang terpaksa akur dengan pembatalan itu.

"Saya sudah berada di sini seawal 5 petang sebab penganjur kata jam 6 petang boleh masuk untuk bersedia, tetapi acara batal pula," kata seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Noor.

Karnival jualan itu sepatutnya diadakan mulai hari ini hingga Jumaat selama 72 jam tanpa henti.

Ia turut menampilkan artis antaranya Jaafar Onn, Ayie Floor88, Amer Forteen, Elyana, Aidil Aziz, Risteena, Izzue Islam, Anne Abdullah, Farah Wahida, Cat Farish, Ayu Damit, Soffi Jikan dan Rahmat Mega.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 10:54 AM