Gamba hiasan. FOTO NSTP.
Gamba hiasan. FOTO NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat mempertimbangkan permohonan pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan GLC yang diduduki peniaga.

"Saya terima banyak permohonan daripada peniaga-peniaga yang memohon dikecualikan bayaran sewaan premis GLC yang mereka duduki untuk berniaga.

"Pertimbangkanlah permohonan-permohonan ini sebaik-baiknya. Banyak peniaga yang mengalami kerugian," katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, hari ini.

Beliau meminta agar GLC membantu peniaga-peniaga ini supaya dapat menyelamatkan perniagaan dan bangkit kembali.

"Laksanakan program tanggungjawab sosial korporat untuk membantu masyarakat yang susah. Inilah masanya untuk kita semua memberi kembali kepada masyarakat," katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan GLC yang telah menyokong segala usaha kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Apa sahaja pencapaian negara kita sepanjang tahun lalu dan yang akan datang adalah pencapaian anda semua," tambah beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 12:18 PM