Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz mengaku komunikasi antara dirinya dengan pelakon gandingannya dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Sophia AlBarakbah sedikit 'terganggu' selepas pendedahan yang buat isterinya, Bella Astillah baru-baru ini.

Aliff bagaimanapun menegaskan, proses penggambaran yang masih berbaki sebulan tetap berjalan dengan baik dan profesional.

"Sepanjang tempoh bekerjasama, dia tidak pernah menolak idea saya atau pengarah. Malah pengalaman berlakon daripada awal, semuanya baik-baik saja.

"Cuma kebelakangan ini sajalah. Mungkin disebabkan apa yang berlaku sebagaimana yang kita semua tahu. Jadi di situlah kita boleh nampak komunikasi itu berkurang.

"Tapi saya rasa tidak ada masalah sebab kita sedia maklum mengenai karakter masing-masing. Kita masih profesional untuk menghabiskan pekerjaan ini.

"Mungkin hal ini boleh ditanyakan kepada Sophia juga. Cuma daripada pihak saya, tidak ada 'pergaduhan' daripada segi kita nak bekerjasama mengenai watak masing-masing. Itu tidak berlaku," katanya.

Menurut Aliff, dia juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan isu dia dikaitkan dengan Sophia adalah gimik semata-mata bagi mempromosikan drama arahan Osman Ali itu.

"Ini bukan gimik kerana saya sebagai pelakon, jika pihak produksi meminta buat gimik untuk menaikkan rating drama, saya tidak akan bersetuju.

"Biarlah drama ini mendapat sambutan melalui naskhah itu sendiri dan bukan daripada gimik seperti ini," katanya.

Aliff Aziz pada majlis sidang media drama akasia Ku Akad Kau dengan Bismillah. FOTO ROHANIS SHUKRI
Aliff Aziz pada majlis sidang media drama akasia Ku Akad Kau dengan Bismillah. FOTO ROHANIS SHUKRI

Semalam, Aliff mengesahkan wanita yang didakwa cuba mengganggu rumah tangganya dengan Bella ialah Sophia.

Kontroversi mula tercetus selepas Bella mendedahkan seorang pelakon wanita berkali-kali membuat panggilan telefon dan menghantar pesanan kepada suaminya sehingga mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 3:06 PM