SITI Jamumall menjalani pembedahan kerana benjolan di leher, baru-baru ini.
SITI Jamumall menjalani pembedahan kerana benjolan di leher, baru-baru ini.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan sensasi, Siti Jamumall menepis dakwaan netizen yang menuduhnya sengaja berpura-pura sakit demi mencipta kandungan di media sosial.

Siti atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin berkata, dia ditidurkan ketika menjalani pembedahan bagi mengenalpasti penyebab benjolan di leher, kelmarin.

"Benjolan itu sudah ada beberapa bulan lepas. Tapi baru-baru ini, saya pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan sebab makin membesar.

"Saya dah buat segala prosedur, tetapi masih belum dapat kesan. Itu yang kena jalani pembedahan untuk mengenal pasti sama ada ia penyakit tibi atau kanser limfoma.

"Nak kata saya buat 'marketing' (pemasaran), memang tidak. Saya dah masuk hari ketiga di wad. Sakit bukan perkara yang boleh dibuat main.

"Kalau nak kata saya sengaja nak cipta kandungan (content), memang tak sanggup. Takut berbalik dekat diri sendiri. Penyakit ini walau kita muda sekalipun kalau dah ditakdirkan jadi, memang jadi terus," katanya.

Menurut Siti, dia tidak mengambil hati dengan komen-komen kasar dan negatif yang dilemparkan oleh netizen di TikTok.

"Saya pempengaruh jadi apa saja berlaku dalam kehidupan akan tular dan ramai orang tahu.

"Saya baca komen-komen netizen. Dari mata saya, mereka ini baru mengenali saya. Kalau individu yang dah lama kenal, mesti tahu karakter saya macam mana.

"Nak terasa hati rasanya bagi saya tidak perlu. Sebab tak ramai pun yang mengutuk. Biasalah kehidupan, tak semua orang suka kita.

"Jangan pandang yang negatif. Kita ambil positif saja," katanya lagi.

Meskipun kini sakit, Siti tetap memikirkan keadaan abangnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) serta anak-anak.

"Saya dari kecil memang jaga abang yang OKU. Jadi bila saya ditahan di wad, rasa risau itu muncul memikirkan siapa yang akan menjaga mereka di rumah.

"Walaupun saya mampu saja untuk membayar orang lain untuk mengambil alih tapi, ia tetap tak sama. 

"Dah terbiasa selalu nampak mereka di depan mata. Itu yang boleh timbul perasaan sebak," katanya.

Dalam masa sama, Siti memohon orang ramai untuk mendoakan agar kesihatannya kembali pulih seperti biasa.

Terdahulu, Siti pernah tular sekitar Jun tahun 2021 apabila menyedari anaknya yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi pasangan lain.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 12:20 PM