UBAI, tunang Shila Amzah. FOTO Instagram ubaimz
UBAI, tunang Shila Amzah. FOTO Instagram ubaimz
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial, Ubai MZ, 25, mengakui bukan mudah dia melayari hubungan percintaan dengan tunangnya yang juga penyanyi popular, Shila Amzah, 33, kerana perlu berhadapan pelbagai tanggapan negatif netizen.

Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli ketika dihubumgi berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana pertunangan dengan penyanyi lagu Patah Seribu dan Memori Tercipta itu sudah selamat berlangsung semalam, pada satu majlis tertutup.

Mengulas kisah hantaran Shila di Instagram beberapa hari sebelum mereka bertunang yang menimbulkam salah faham ramai, Ubai berkata, dia tahu niat sebenar kekasihnya itu yang ingin memberikan penghargaan.

"Saya dalam perjalanan ke tempat kerja ketika tahu mengenai hantaran itu. Apabila membacanya, saya tahu yang dia (Shila) sekadar menulisnya sebagai penghargaan. Tapi, ramai yang dah salah faham dan anggap bukan-bukan.

"Sebenarnya ia perkara biasa saja bagi saya. Sebabnya,bila sebut hubungan saya dengan Shila, memang banyak yang negatif orang akan cakap daripada positif. Itulah lumrah kehidupan.

"Saya dah faham sangat dah. Kami buatlah apa pun, tapi yang buruk itu orang tulis dan cakapkan," katanya merancang majlis perkahwinan mereka pada tahun ini dan enggan bertunang lama-lama.

Ubai berkata, selama dia mengenali dan rapat dengan Shila, bermacam-macam dakwaan negatif yang diperkatakan, hingga  dia selesa membiarkan walaupun tahu mengenainya.

"Kalau kisah saya dengan Shila ini, buatlah baik macam mana pun, yang negatif tetap akan ada. Contoh masa kita mula berkawan, ada orang yang cakap kenapa saya nak tumpang populariti dia?

"Bila kami dah bercinta pula, ada yang kata kenapa macam itu macam ini, banyaklah negatifnya.

Malah, saya diminta ikat dia (bertunang) untuk ikatan sah dan cepat-cepat bernikah. Jadi, benda ini (perhatian netizen) memang tak boleh nak hentikan apa orang nak cakap.

"Tapi, saya okay saja kalau orang macam doakan yang baik-baik, tahniah nak kahwin pun, dah bertunang. Tapi, bila orang persoalkan macam tak lama lagi, harap putus, tipulah kalau mana-mana individu boleh cakap dia tak kisah," katanya.

Menurut Ubai, dia boleh saja kata tak baca komen-komen itu, tapi realiti sebenar memang kena kuatkan diri untuk hadap semua itu. 

Katanya, sebelum ini di TikTok pun  dia ada dapat komen negatif, tapi mengambilnya secara positif sebagai kekurangan diri. 

Difahamkan, Ubai dan Shila mula menjalin hubungan rapat sejak tahun lalu. Cuma, mereka mengaku  bercinta pada Februari lalu menerusi penjelasan dibuat dalam sesi siaran langsung di TikTok.

Ubai dikatakan  mula mendekati dan rapat dengan Shila selepas penyanyi itu melalui fasa sukar dalam kehidupan peribadinya iaitu berhadapan kegagalan dalam rumah tangga.

Malah, Ubai juga dikatakan sudah menyukai Shila sejak dia tingkatan satu pada 2011 dan mengikuti wanita idamannya di Twitter. Namun, hubungan antara peminat dan penyanyi pujaan semakin akrab pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 4:52 PM