Cakra Khan mempersembahkan nyanyian lagu beliau pada konsert 'Cakra Khan A Decade' di Plenary Hall KLCC, Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Cakra Khan mempersembahkan nyanyian lagu beliau pada konsert 'Cakra Khan A Decade' di Plenary Hall KLCC, Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan gagal menahan air mata apabila ibunya Entik Trisuyatmi hadir menyaksikan Konsert A Decade Cakra Khan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Cakra berkata, ini adalah kali pertama ibunya hadir menyaksikan konsert berskala besar yang diadakan sempena menyambut 10 tahun pembabitannya dalam dunia seni.

"Momen paling istimewa sudah tentu apabila saya tahu, ibu hadir menyaksikan konsert ini. Kali pertama sebenarnya dia hadir ke konsert berskala besar seperti ini.

"Selalunya ibu akan bersama dengan arwah bapa. Tapi, ketika lihat dia bersendirian saya tak boleh kawal emosi. 

"Malah  sebelum membawakan lagu Ayah pada konsert ini, saya mendengar lebih 100 kali supaya dapat kawal emosi. 

"Mula-mula saya cuba elak pandang ke arah ibu dan video di layar, tetapi perasaan sedih tidak boleh dikawal. Namun Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik,"katanya.

Pada konsert berkenaan, Cakra membawakan lebih 20 lagu selain dihiburkan dengan penampilan istimewa Aina Abdul, Khai Bahar dan Ade Govinda.

Pada konsert berkenaan, Cakra turut mengingatkan kepada tetamu serta peminat yang hadir supaya menghargai kedua ibu bapa ketika masih ada.

"Hidup harus tetap berjalan. Walaupun ayah sudah tiada tapi saya masih memiliki hati (ibu) di depan saya. 'I love you'.

"Untuk teman-teman semua yang masih punya orang tua tolong luangkan masa dengan mereka sebelum semuanya terlambat," katanya.

Tambah Cakra, dia masih ingat pesanan arwah bapanya, Hermana yang meninggal dunia, dua tahun lalu akibat angin ahmar.

"Ayah pesan, dia mahu saya sentiasa menghiburkan orang lain di atas pentas. Dia mahu saya sentiasa menyanyi dan memberi yang terbaik untuk semua pendengar.

"Persembahan lagu Ayah ini adalah dedikasi untuknya yang selama ini menjadi bapa terbaik yang akan selamanya ada dalam hati.

"Saya juga tak terfikir akan berada di sini. Ramai yang hadir termasuk idola-idola saya. 

"Selama ini saya penuh dengan mimpi dan antaranya saya ingin buat orang lain gembira. Saya harap malam ini saya mampu memberikan yang terbaik dan diingati oleh peminat," katanya. 

Konsert pelantun yang popular menerusi lagu Kekasih Bayangan itu dihadiri ramai sepebriti popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Rossa, MK K-Clique, Puteri Sarah Liyana, Fattah Amin dan Nur Fazura. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 7:41 PM