GABUNGAN mantap Jamal, Sufie dan Ezad.
GABUNGAN mantap Jamal, Sufie dan Ezad.
SUFIE berduet dengan Jamal.
SUFIE berduet dengan Jamal.
HM Digital

Berpeluang beraksi satu pentas dengan raja pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah membuatkan penyanyi Singapura, Sufie Rashid tergamam seketika.

Mana tidaknya, Sufie yang terkenal menerusi lagu Aku Sanggup begitu mengagumi bakat dan kelunakan suara penyanyi berusia 58 tahun itu.

Persembahan sempena Konsert Sejuta Harapan di Town Square, Our Tampines Hub, Singapura itu disaksikan lebih 6,000 penonton, baru-baru ini.

Selain Sufie dan Jamal, konsert terbabit turut dimeriahkan dengan persembahan Ezad Lazim.

Ternyata konsert berskala besar penyanyi tempatan yang sudah lama tidak mewarnai langit Singapura itu menjadi gamat dan gegak gempita apabila tiga figura ini memenuhi ruang pentas terbabit.

Sufie yang juga juara Akademi Fantasia (AF) 2015 ketika dihubungi mengakui teruja apabila impiannya untuk berduet dengan penyanyi legenda itu dalam sebuah konsert yang berskala besar tercapai.

“Apabila diberi peluang bergandingan dengan idola saya, ia memang rezeki yang tidak boleh ditolak.

“Walaupun ini bukan kali pertama saya digandingkan dengan Jamal, tetapi konsert ini dibawa dengan penuh prestij dengan iringan orkestra dan ‘live band’ sekali gus membuatkan saya sedikit gemuruh apabila digandingkan bersama.

“Saya begitu mengagumi bakat Jamal. Bagi saya, suara yang dianugerahkan Tuhan bukan calang-calang. Walaupun usianya sudah melebihi separuh abad tetapi beliau mampu membawakan lagu bernada tinggi dan tidak langsung kelihatan letih ketika beraksi,” katanya.

Menurut Sufie, dia berpeluang berduet dengan penyanyi itu menerusi tiga lagu iaitu Isabella, Ghazal Untuk Rabiah dan Seroja.

“Sudah lama saya mengimpikan untuk beraksi dalam konsert seperti ini di Singapura sebab ia dapat mendekatkan saya dengan peminat,” katanya yang menyanyikan tujuh lagu.

Sementara itu, Sufie turut terbabit dalam program AF Megastar yang menghimpunkan semula bekas juara dan peserta kegemaran AF musim terdahulu.

Sufie berkata, dia teruja apabila dapat kembali bertanding bersama rakan dan berazam kembali memberi saingan sengit kepada semua peserta.

“Berdebar juga, tetapi saya melihatnya dari sudut positif. Saya yakin menerusi penyertaan dalam program itu dapat memberi nilai tambah dalam menaikkan kembali nama saya,” katanya.

AF Megastar bakal menyaksikan 24 perserta termasuk lapan bekas juara yang bakal berentap bagi merebut gelaran juara.

Ia mula ditayangkan pada 3 September ini setiap Ahad di saluran Astro Ria dan Ria HD. - Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 5:52 AM