AYU Puteh
AYU Puteh
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Jangan jadi penerbit yang 'selfish' (mementingkan diri semdiri). Haiwan pun perlukan masa berehat juga, inikan pula kita manusia yang bekerja. Jangan zalimi orang lain," kata penerbit drama dan filem, Datuk Ayu Puteh berhubung isu kerja lebih masa dalam kalangan pelakon dan kru yang tular, baru-baru ini.

Ayu berkata, sesiapa saja yang bekerja dalam tempoh terlalu panjang dan lama iaitu melebihi 20 jam, pasti cukup memenatkan sekali gus 'mood' pelakon juga terganggu.

"Dapatkah produk berkualiti dihasilkan? Mana perginya sifat kemanusiaan apabila meminta orang bekerja lebih masa sehingga 20 jam. Kalau ikut logik pun, bekerja dalam tempoh lapan sehingga 12 jam pun sudah penat.

"Saya pasti kualitinya entah ke mana. Berlakon bukan senang, ia gunakan fizikal, mental, emosi dan sebagainya. Jadi, kalau 'mood' pelakon dah tak baik dan terganggu, macam mana tu? Orang yang bekerja memang nak kena rehat. Tak boleh 'lenjan' kerja berlebihan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah wajar pelakon meletakkan tempoh masa bekerja sebagai salah satu syarat dalam kontrak, Ayu berkata, urusan penyediaan kontrak kerja memang sudah disediakan oleh penerbit dan boleh berbincang.

"Bergantung kepada persetujuan penerbit juga sekiranya pelakon meletakkan syarat masa bekerja mereka di dalam kontrak. Tapi, biasanya urusan kontrak, penerbit sudah siapkan lebih awal dan pelakon harus mempersetujuinya.

"Apapun, perlu dilihat juga persekitaran bekerja sama ada seronok atau tidak di lokasi, pasukan bekerjanya daripada pengarah dan semua orang, apakah 'vibe' positif. Kalau muka masing-masing ketat saja, pelakon duduk sejam pun dah panas. Inikan pula nak kena kerja lebih masa.

"Suasana bekerja di set penggambaran juga memainkan peranan penting, termasuk pembawakan diri masing-masing dalam pasukan bekerja itu. Bagi saya, apabila kerja membabitkan manusia ini, aspek kebajikan harus dijaga sebaiknya.

"Memang tak patutlah kalau pelakon dan kru itu 'dilenjan' bekerja lebih masa 20 jam, hanya disebabkan mungkin masa tayangan drama itu di stesen TV semakin dekat. Jadi, tak ada pilihan kena siapkan juga dalam masa yang suntuk," katanya.

Mengulas juga mengenai tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang didakwa agensi bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan waktu bekerja ini, Ayu berkata, Finas tiada kaitan untuk dipersalahkan sepenuhnya.

Katanya, ia membabitkan urusan dalaman produksi.

Menurut Ayu, sebagai penerbit seharusnya kena rajin juga turun padang ke lokasi penggambaran untuk meninjau dan mengetahui sebarang permasalahan berlaku dan penerbit tidak boleh lepas tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 2:26 PM