Datuk Yusry Abd Halim
Datuk Yusry Abd Halim
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Pengarah, Datuk Yusry Abd Halim mengehadkan waktu bekerja di lokasi penggambarannya sehingga 12 jam saja.

Yusry berkata, produksi perlu bertolak ansur dan berbincang dengan pelakon jika mahu mereka bekerja lebih masa pada hari tertentu.

"Semuanya atas persetujuan bersama secara lisan membabitkan pengarah, pelakon dan kru," katanya mengenai isu kerja lebih masa sehingga 20 jam sehari dalam kalangan pelakon dan kru yang tular baru-baru ini.

Menurut Yusry, kerja lebih 20 jam itu memang agak melampau kerana kalau jika buat hari-hari (penggambaran) pelakon memang akan 'pancit'.

"Apapun, akhirnya orang kerja lama-lama pun kualiti tak ke mana. Kita kan manusia bukan pelakon punya stamina saja, otak pengarah pun jadi tepu," katanya.

Bagaimanapun, Yusry tidak menafikan sesekali dia juga terlajak, tetapi mereka berbincang secara baik untuk menyelesaikannya.

"Antara punca penggambaran membabitkan tempoh lama ialah disebabkan faktor tertentu seperti hujan, set nak dirobohkan dan sebagainya.

"Jika pelakon sudah bekerja lebih masa di lokasi penggambaran atas sebab yang tidak dapat dielakkan, saya akan pastikan pelakon itu akan mendapat rehat dan tidak perlu 'call time' pada waktu pagi keesokan harinya.

"Memang ada masanya, pengarah terpaksa melakukan penggambaran dengan tempoh panjang kerana mengejar 'deadline' yang ditetapkan dan sebagainya," katanya.

Yusry berkata, dia sendiri pernah buat kerja gila ketika terbabit dengan projek penggambaran drama bersiri kerana ia membabitkan pelakon yang ramai.

"Pengarah dan kru juga terpaksa bekerja setiap hari tanpa rehat selama tiga bulan dan dalam sehari, kami siapkan sebanyak 46 babak. Namun, kami sudah berbincang secara lisan dengan pelakon mengenai kerja lebih masa itu dan tiada masalah," katanya.

Ditanya mengenai kontrak kerja lebih masa, Yusry berkata, tempoh kerja lebih masa atau jumlah jam bekerja tiada dalam kontrak yang ditandatangani pelakon.

"Dalam industri seni kita tidak ada kontrak untuk kerja lebih masa sehingga 12 jam. Selalunya, ia dibuat hanya secara lisan membabitkan pengarah, pelakon dan kru.

"Dalam kontrak, produksi hanya meletakkan syarat pelakon perlu menghabiskan penggambaran hingga selesai. Jika pelakon tidak setuju dengan kerja lebih masa, pihak produksi dan pengarah akan mencari jalan tengah untuk menyelesaikannya.

"Semuanya atas budi bicara dan kita harap pelakon juga faham situasi yang tidak dapat dielakkan itu kerana masing-masing ada tanggung-jawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 11:33 AM