Siti Saleha dan kekasihnya.
Siti Saleha dan kekasihnya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Siti Saleha tidak pernah berbincang soal pernikahan dengan teman lelakinya, Joshua, sekali gus menafikan dakwaan dia bakal mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat. 

Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharum, 32, berkata, perkongsian wajah teman lelakinya di Instagram hanya sekadar untuk mengesahkan mengenai hubungan yang terjalin. 

"Saya sedar hubungan kami sudah diketahui rakan industri dan sahabat terdekat, jadi tak salah rasanya untuk saya kongsikan gambar kami berdua di Instagram untuk menjadikannya lebih rasmi. 

"Saya sekadar tunaikan janji sebab sebelum ini, saya pernah berjanji untuk kongsikan kepada semua. Tapi, saya terkejut apabila ada desas-desus mengatakan saya bakal berkahwin dalam tempoh terdekat hanya kerana perkongsian itu.

"Kami tidak pernah berbincang soal majlis perkahwinan setakat ini. Kami malu sebenarnya nak bercakap fasal perhubungan ini dan kami ikut saja jalan yang sudah ditentukan buat kami," katanya. 

Menurut Saleha, dia sudah bertemu dengan keluarga Joshua, namun pertemuan itu hanya sekadar perjumpaan santai untuk mengenali lebih dekat. 

'Keluarga kami berdua tak jauh beza yang mana masih mengekalkan adat dan budaya walaupun bersikap terbuka. 

"Perjumpaan itu adalah perjumpaan biasa dan tiada langsung perbincangan mengenai perkahwinan yang dibangkitkan mereka," katanya. 

Mengulas mengenai keperibadian Joshua, Saleha berkata, jejaka yang juga pereka fesyen itu 

memiliki ciri-ciri lelaki yang diidamkan. 

"Dia lelaki yang baik dan saya dapat rasakan kami melalui satu perhubungan yang sihat.

"Perkenalan kami sudah hampir lima tahun. Saya pernah menghadiri pertunjukan fesyen yang dianjurkannya selain berkawan dengan adiknya. 

"Tapi hubungan kami mula rapat sekitar pertengahan tahun ini. Dia masih bujang dan juga mempunyai darah campuran seperti saya," katanya. 

Terdahulu, Saleha mengumumkan kini berkawan rapat dengan seorang jejaka kacukan, namun belum bersedia untuk mendedahkan identiti lelaki itu.

Saleha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan  Ahmad Lutfi Azhar pada 2017 dan bercerai pada Januari tahun ini.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 5:15 PM