Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Program hiburan popular TV3, Terpaling Juara (TJ) mencapai 8 juta penonton secara keseluruhan sepanjang lapan minggu bersiaran pada setiap Ahad, jam 9 malam.

Perkara ini disahkan menerusi kajian Nielsen TV Audience Marketing dari 21 Ogos 2022 hingga 9 Oktober 2022.

Selepas lapan minggu berentap, program ini menyaksikan Rahmad Mega yang berada di bawah kapten Hael muncul juara dengan membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000.

Manakala Aqmal (kapten Naim) menyandang tempat kedua meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Hazami (kapten Akim) ketiga menerima RM30,000 dan trofi manakala Shaz (kapten Hael) keempat membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Pentas akhir Terpaling Juara sudah bersiaran secara langsung pada 9 Oktober lalu, jam 8.55 malam hingga 11 malam di TV3 dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my dengan menyaksikan empat finalis iaitu Aqmal (Kapten Naim), Hazami (Kapten Akim), Rahmad Mega dan Shaz (Kapten Hael) mempertaruhkan dua buah lagu iaitu sebuah lagu solo dan sebuah lagu berduet dengan kapten masing-masing.

Dalam kenyataan TV3, sepanjang kolaborasi dengan tiga kapten iaitu Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang juga penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij, keenam-enam peserta senior dan junior sudah menghiburkan penonton dengan menjayakan persembahan mingguan yang bertemakan #playlistAJL dari 21 Ogos hingga 9 Oktober lalu.

Dua penyingkiran sudah dilakukan sebelum Rahmad Mega, Aqmal, Hazami dan Shaz beraksi di pentas akhir. Terpaling Juara dihoskan oleh pasangan duo yang dinamik iaitu Haziq Hussni dan Shiha Zikir serta menampilkan Datuk Hattan dan Fauziah Latiff sebagai juri tetap.

Lebih menarik, episod akhir ini sudah digamatkan lagi dengan kehadiran Datuk Sri Siti Nurhaliza sebagai artis jemputan dan juga juri jemputan.

Floor 88 turut tampil untuk persembahan selingan (interlude). Pemenang ditentukan dengan 70 peratus markah dari panel juri serta 30 peratus daripada undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

Terpaling Juara menampilkan vivo Malaysia sebagai penaja utama, Nivea sebagai penaja bersama, Hot FM sebagai rakan radio rasmi, Berita Harian dan Harian Metro sebagai rakan media rasmi serta Xtra dan Oh Bulan! sebagai rakan digital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 10:33 AM