Pengacara dan penyampai radio, Keanu Azman.
Pengacara dan penyampai radio, Keanu Azman.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio, Keanu Azman, 25, tidak terkejut apabila ramai yang tidak mengenali, mempersoalkan siapa dirinya serta mempertikai kemampuannya menggalas tugas sebagai pengacara program Vazz Vaganza bersama Che Puan Sarimah Ibrahim.

Keanu atau nama sebenarnya Mohamad Keanudin Mohamad berkata, dia sudah menjangkakan perkara itu kerana baru tahun ini rezekinya sebagai pengacara bersinar.

"Saya tak terkejut dan tak salahkan sesiapa apabila mereka tak kenal saya. Awalnya memang saya takut sangat kerana selama lebih lima tahun mencari tapak, banyak percubaan saya yang tak menjadi sebagai pengacara.

"Bermula sebagai pengacara dan penyampai stesen radio berbahasa Inggeris, saya tidak pernah berkira ambil tawaran. Tawaran kecil-kecil pun saya rembat kerana niat saya untuk mencari tapak dalam industri hiburan terutama pasaran Melayu.

"Dapat mengacarakan Vazz Vaganza adalah titik bermakna dalam karier saya. Saya tak marah dilabel mengada-ngada, gedik atau apa saja tapi paling penting saya kena lunaskan sebaiknya kepercayaan itu," katanya.

Penyampai radio Hitz FM itu berkata, dia sebenarnya sudah bertahun-tahun cuba untuk menerusi pasaran Melayu.

Pelbagai cakap sinis pernah dilemparkan padanya namun tidak patahkan semangat.

"Saya pernah dilabel terlalu 'urban' dan diragui boleh cakap Melayu dengan baik atau tidak. Bahkan, ada yang mempersoalkan sama ada saya ini Islam atau tidak.

"Tahun lalu, saya mencabar diri menyertai pertandingan Hero Remaja kerana nak sangat dapat platform jadi selebriti pasaran Melayu. Walaupun akhirnya saya cuma ditawarkan sebagai pembantu penerbit program itu, syukur ia permulaan bagus.

"Tahun ini menjadi tahun bermakna apabila mulai dihujani tawaran pengacaraan Melayu termasuk MeleTop dan Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23). Saya bersyukur sangat kian mendapat kepercayaan dan perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 2:43 PM