Taufiq Hanafi
Taufiq Hanafi
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Rancangan Allah itu lebih baik." Demikian kata pelakon, Taufiq Hanafi mengenai majlis perkahwinannya yang sepatutnya berlangsung dalam tahun ini dan ditunda ke 8 Januari depan.

Taufiq ketika dihubungi berkata, dia bagaimanapun meneruskan persiapan menuju hari bahagianya bersama bakal isteri, Farah Azrina.

"Asalnya, kami rancang untuk berkahwin pada bulan ini atau bulan hadapan. Namun, Allah mungkin ada rancangan yang lebih baik untuk kami.

"Jadi, majlis perkahwinan kami ditunda dan Insya-Allah, akan berlangsung pada 8 Januari tahun hadapan," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon filem Paskal dan Ola Bola itu juga berkongsi rasa syukur kerana turut disunting penaja.

"Setakat ini, persiapan lebih kurang 60 hingga 70 peratus. Doakan saya dapat tawaran kerja-kerja lakonan ya.

"Alhamdulillah, ada juga sebahagian daripada persiapan ditaja. Doakan semuanya berjalan lancar," katanya.

Taufiq dan Farah bertunang pada 20 Februari lalu dan kedua-duanya berkongsi minat dengan permainan PUBG yang mana menjadi titik permulaan perkenalan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:34 PM