TAUFIQ Hidayat bergambar di tebing Gunung Baling yang berketinggian 420 meter. FOTO ihsan Taufiq Hidayat Mohd Rezuan
TAUFIQ Hidayat bergambar di tebing Gunung Baling yang berketinggian 420 meter. FOTO ihsan Taufiq Hidayat Mohd Rezuan
Murnaena Muhammad Nasir


PENUNTUT Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Taufiq Hidayat Mohd Rezuan, 20, sanggup mengambil risiko bergambar di tebing gunung demi mengabadikan kenangan mendakinya.

Taufiq Hidayat berkata, walaupun ada yang menganggap aksi dilakukannya berbahaya namun ia tidak mematahkan niatnya untuk mengambil gambar dengan cara paling istimewa setiap kali berjaya sampai di puncak gunung didaki.

"Perasaan gayat dan takut berada betul-betul di tebing itu pudar selepas dapat menikmati pemandangan indah dari puncak gunung," katanya ketika dihubungi.

Terbaru, Taufiq Hidayat memuat naik gambarnya duduk dan terbaring di tebing Gunung Baling dan Gunung Pulai, di Kedah.

"Memang rasa sangat berbaloi dapat ambil gambar di situ walaupun bergetar kaki selepas mendaki dan panjat batu-batu tajam serta besar.

"Saya bersyukur sepanjang pembabitan saya dalam hobi ini, tiada perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.

Menurutnya, dia meminati aktiviti mendaki gunung sejak zaman sekolah lagi dan kini menjadikannya sebagai hobi pada waktu lapang.

Taufiq berkata, dia sudah menawan lebih 10 bukit di sekitar Pulau Pinang dan pernah menawan tiga gunung dalam masa satu hari saja bersama-sama rakan kumpulan Facebook (FB), Penang Outdoor Official.

"Saya bernasib baik kerana mengikuti kumpulan FB ini kerana ahli-ahlinya terdiri daripada orang yang berpengalaman mendaki gunung walaupun ada antaranya bergelar makcik.

"Saya banyak ambil pengalaman dan belajar tips mendaki dari mereka terutama cara-cara yang betul semasa mendaki gunung yang curam," katanya.

Mengulas mengenai rambut afro yang turut mendapat perhatian warganet, Taufiq berkata, dia meminati gaya itu kerana kelihatan cantik dan unik.

"Memandangkan rambut saya memang semula jadi kerinting, jadi saya teruskan membela rambut panjang sehingga kelihatan gaya ala afro.

"Ibu bapa dan rakan ada menegur rambut saya yang kadang-kadang nampak mengembang dan tidak terurus. Mereka suruh potong rambut tetapi saya masih mahu membelanya sehingga tahun depan," katanya.

Menurutnya, gaya rambutnya juga menyebabkan dia sering disindir sarang lebah, tebuan, pokok bergerak dan biri-biri.

"Namun, saya tidak ambil hati kerana saya seorang yang periang dan mudah ketawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:46 PM