DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi berkaitan pada Isnin ini bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam ketika ini.

Menurutnya, perbincangan itu merangkumi pelbagai isu berbangkit termasuk kontroversi membabitkan usahawan kosmetik Nur Sajat dan Ibu Yati.

Katanya, pertemuan itu membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Sejujurnya bukan isu Sajat sahaja, apa-apa isu yang terkait dengan agama Islam, kita akan tengok bagaimana kaedah terbaik, penyelesaian atau pun cari solusi.

"Kita pandang serius dalam hal berkaitan isu agama Islam dan langkah proaktif perlu diambil supaya apa-apa isu yang berbangkit dapat diselesaikan dengan telus.

"Insya-Allah, saya akan duduk semeja dengan Jakim, Jais dan JawiI untuk bincang dan akan ada penyelesaian untuk isu-isu ini," katanya ketika ditemui media di program penyerahan MyHAUS di Kampung Lay Out Tok Saboh di sini, hari ini.

Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman kembali mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam.

Isu Ibu Yati pula tular selepas tular video ritual pelik agama Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 8:22 PM