Syamsul (dua dari kanan) ketika menghadiri program Bicara Persada ke-12 “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Yang Tersurat dan Tersirat. FOTO Aziah Azmee
Syamsul (dua dari kanan) ketika menghadiri program Bicara Persada ke-12 “Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Yang Tersurat dan Tersirat. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Bangi: Pengarah filem berkaliber Syamsul Yusof, 38, sudah berbincang dengan anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang berminat untuk meneruskan semula projek filem arwah bapanya, Pasir Salak - King Of The River yang sudah lama tergendala.

Syamsul ditemui berkata, dia bagaimanapun masih lagi dalam proses meneliti dari pelbagai sudut dan aspek, termasuk bajet pembikinan sebenar yang diperlukan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Sebenarnya, saya dah ada berbincang dengan anak Allahyarham Jins Shamsuddin yang ada menghubungi saya berkaitan filem Pasir Salak itu. Jadi, saya terfikir juga kenapa tidak ia diteruskan semula.

"Ini kerana, pada saya ia juga suatu niat yang murni untuk menyambung kembali kerja-kerja yang pernah dibuat oleh Allahyarham. Boleh dikatakan, arwah pun dah buat banyak kajian untuk filem itu (Pasir Salak) dan pernah juga mendapat dana daripada kerajaan sebelum ini.

"Tapi, apa yang saya difahamkan dana diperoleh itu tidak secukupnya dan proses pembikinan filem akhirnya tergendala. Namun, banyak kajian sudah dilakukan, skrip asal telah ada, barang-barang props seperti senjata dan pelan set pun dah ada. Jadi, tinggal kita nak 'proceed' saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pengarah filem bakal berstatus '100 million dollar man' itu, bagaimanapun untuk meneruskan semula kerja-kerja lama yang tergendala sudah lebih 20 ke 30 tahun itu, tentulah dia akan 'style' kan dan 'revised' balik skrip yang ada.

Ditanya juga anggaran bajet sewajarnya untuk pembikinan filem Pasir Salak berkenaan, Syamsul berkata untuk mencapai 'standard' sekurang-kurangnya tahap 'Korean Film', dana diperlukan sebanyak RM20 juta.

"Sebab, saya pun dah buat 'research', yang mana selain kamera, harga lens pun mahal. Tapi, kalau kerajaan beri saya RM10 juta pun dah boleh buat (filem itu), tapi sayanglah. Jadi, kalau 'spend' lebih sikit, insya Allah kita boleh buat yang baik lagi.

"Apapun, saya masih dalam perbincangan nak melihat yang mana kisah pahlawan tanah air terbaik kerana saya pun tak boleh nak buat semua. Saya akan pilihlah yang mana bukan saja filem sejarah itu sendiri, tapi yang lebih besar, yang lebih mencabar saya dari segi kreativiti sebagai pengarah dan dalam penulisan juga," katanya.

Syamsul berkata pembikinan filem epik juga tidak boleh diambil mudah dan ia perlukan rujukan yang banyak serta masa yang lama.

Namun, katanya dalam tempoh itu, dia juga tak nak terikat dengan membuat 'research' saja.

Mengulas pula kutipan terkini filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul berkata setakat ini jumlah keseluruhan dikumpulkan untuk tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei kira-kira RM96 juta serta masih lagi ditayangkan oleh pihak pawagam.

Katanya, apapun dia teruja untuk menantikan tayangan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan masuk ke pawagam-pawagam Indonesia tidak lama lagi.

Katanya, diharapkan semoga filem itu mendapat sambutan baik dan positif daripada masyarakat Indonesia.

Terdahulu, Syamsul hadir pada majlis Bicara Persada: Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan -Yang Tersurat dan Tersirat di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Turut sama, Pensyarah Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan pelakon, penerbit filem Datuk Rosyam Nor. Manakala, pengacara Sayed Munawar bertindak sebagai moderator program.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 3:37 PM