Haziq Hussni diperkenalkan sebagai pengacara program hiburan popular itu hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Haziq Hussni diperkenalkan sebagai pengacara program hiburan popular itu hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni, 32, menyifatkan portfolio kerjayanya dalam pengacaraan sudah lengkap dengan pembabitan sebagai pengacara Melodi.

Haziq atau nama sebenarnya, Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni ketika ditemui berkata, dia amat berbesar hati apabila dilamar pihak penerbitan untuk mengendalikan program hiburan nombor satu dan popular di TV3 itu.

"Saya tak fikir lama pun untuk menerima tawaran mengacarakan Melodi kerana ia salah satu program yang saya impikan. Lagipun, sebelum ini saya pernah menjadi pengacara Muzik- Muzik, Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) dan Malaysia Hari Ini (MHI).

"Saya berterima kasih dengan pihak penerbitan Melodi atas kepercayaan ini. Saya akan berusaha membuat sehabis baik kerana proses pembelajaran bagi saya adalah setiap minggu," katanya.

Ditanya mengenai gandingannya bersama Ain Edruce, Haziq berkata, mereka sudah berkawan lama dan mudah untuk membentuk keserasian.

"Ini kali pertama saya bekerja dengan Ain dan Alhamdulillah, kami boleh bergandingan dengan baik dan saling cepat bertindak balas walaupun tiada 'rehearsal' (raptai) tadi. Mungkin kami dah lama berkawan, jadi dah saling faham.

"Saya tahu cara kerja Ain dan dia pun tahu cara kerja saya. Semoga pada minggu hadapan, gandingan kami akan menjadi lebih baik dan mantap lagi. Saya juga sedia menerima apa saja kritikan kerana dalam dunia media sosial sekarang, hati kena kental," katanya.

Terdahulu, Haziq diperkenalkan kepada penonton secara langsung dalam program Melodi yang ditayangkan hari ini.

Selain Ain dan Haziq, antara pengacara Melodi sebelum ini ialah Nabila Huda, Janna Nick, Awal Ashaari, Zizan Razak, Fauziah Ahmad Daud dan Wahid Senario.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 4:54 PM