Haziq Hussni
Haziq Hussni
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Klu yang boleh diberi adalah dia lelaki dan bekas penyampai radio."

Itu bayangan diberikan sumber Harian Metro mengenai desas desus mengatakan bekas penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni bakal menjadi pengacara baharu program Melodi yang bergandingan dengan Ain Edruce bermula Ahad ini.

Penerbit Melodi, Michelle Wee ketika dihubungi bagaimanapun mengambil pendekatan mengunci mulut.

"Seperti dimaklumkan satu sesi sidang media akan diadakan pada Ahad ini iaitu selepas Melodi bersiaran. Jadi, saya minta maaf.

"Cuma, apa boleh dikatakan kami di pihak penerbitan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa saja. Lagi pula, untuk hos baharu ini pun sudah ada pengalaman sebagai pengacara. Malah, dia pernah sekali menjadi hos jemputan kami.

"Kalau nak tahu siapa, nantikan di Melodi, Ahad ini jam 12.30 tengah hari di TV3," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ain Edruce yang juga pelakon dipilih menjadi hos baharu Melodi bagi menggantikan Nabila Huda bermula 3 Julai lalu.

Sepanjang bulan lalu, Ain Edruce sudah digandingkan dengan beberapa pengacara jemputan seperti Izzue Islam, Shalma Ainaa dan Sharnaaz Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 9:19 PM