Nazri Noran.
Nazri Noran.
Sudirman Mohd Tahir

 

Petaling Jaya: Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran menyifatkan pelawak, Johan masih relevan untuk terus menjadi penyampai radio di stesen radio Hot FM. 

Nazri berkata, pemilihan Johan untuk menyertai keluarga baharu Hot FM bagi mengendalikan segmen pagi, Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat bersama Fara Fauzana dan AG adalah berdasarkan data dan kajian. 

"Johan masih relevan untuk menjadi penyampai radio. Pada kami, sudah tentu kita buat ini berdasarkan data dan kajian. Bila hasil kajian mendapat maklum balas daripada 'talent' dan benda yang kita buat dari segi kandungan, kita dapat maklum balas siapa yang masih relevan.  

"Ya, Johan masih relevan. Sebab itu kita ambil keputusan untuk bekerjasama. Malah, Johan antara beberapa nama yang kita letakkan dalam 'wishlist'," katanya. 

Dalam masa sama, Nazri berkata, pihaknya mahu menjadikan Hot FM sebagai stesen radio nombor satu seperti yang pernah dicapai sebelum ini. 

"Jangkaan kita sekarang adalah nak menjadi pesaing kepada stesen radio nombor satu ketika ini. Sudah tentu saya ada 'benchmark' sendiri sebab saya dan beberapa orang lagi dari sana (stesen radio Era FM). Jadi kami tahu 'benchmark' itu.  "Sekarang ini Hot FM di kedudukan ketiga. Jadi, ia persaingan yang sengit. Kami nak menjadi sekurang-kurangnya 'top 2'. Apabila buat perubahan ini kami nak memberikan persaingan sebab Hot FM pernah menjadi nombor satu suatu ketika dulu. Jadi nak kembalikan ke 'on track' untuk lebih bersaing.  "Untuk mencapai nombor satu memang susah. Radio 'dahsyat dahsyat' sekarang, sangat bersaing. Kami hanya perlu bekerja keras. Ini adalah tugas sangat besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 2:38 PM