Sudirman Mohd Tahir

Petaling Jaya: Hot FM menafikan pihaknya 'mencuri' penyampai radio Johan dan Fizi Ali untuk menyertai stesen radio itu ketika mereka masih mempunyai kontrak dengan stesen lama. 

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran berkata, kedua mereka diambil selepas tamat kontrak. 

"Sejujurnya, kalau ambil saja macam tu, kita tak ada duit. Kita kena hormat. Ia juga terpulang kepada mereka. Kalau mereka rasa okay, hantar surat berhenti dan ikut peraturan lah. Kita tak galakkan untuk mereka langgar kontrak pun. Ia terpulang antara mereka dengan majikan mereka. Jadi, kalau semuanya 'clear' dan okay, 'move on' lah. Itu pun kena tengok masa juga. 

"Tidak ada istilah 'sailang'. Bagi saya ini persaingan sihat. Kita tengok bakat yang mana mereka boleh mengisi tempat itu. Dan apa yang kita putuskan dari segi Johan dan Fizi ini adalah kena dengan strategi dan hala tuju kita. Kadang bila kita rasa macam ini 'wishlist' kita, takut mereka tolak, mesti ada fikirkan itu. Jadi kami bersedia untuk ditolak atau mungkin mereka tak nak.  

"Namun, selepas beberapa kali berbual apa yang kita nak, visi dan misi kita untuk bersaing dalam pasaran radio, mereka mahu. Jujur, Johan dari stesen nombor satu, kenapa nak masuk stesen nombor tiga?

Tapi ia satu cabaran. Jika saya buat sesuatu, saya nak pastikan yang saya tahu dan faham apa misi syarikat. Macam kami kongsi dan bersikap telus dengan mereka ini misi kita. Ini kita buat. Kalau ada misi sama, jom buat.

Kalau tak sama, tak apa. Sekurang-kurangnya kita sudah bercakap dan 'move on' apa yang sudah dibuat. Kita nak tawarkan bayaran tinggi tak adalah, cakap terus terang syarikat masih dalam proses nak meningkat. Kita bukan jenis tabur duit. Tak adalah sampai setengah juta. Bayaran ini antara kita dengan mereka," katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran. FOTO Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran. FOTO Aziah Azmee

Terdahulu, Nazri ditemui pada sesi santai Jom Bekpes Bersama Hot FM di Sri Pentas, Bandar Utama, hari ini. 

Sesi itu turut dihadiri barisan penyampai segmen Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat bersama Johan, AG dan Fara Fauzana serta Fizi Ali. 

Ditanya desas desus mengatakan Johan mendapat bayaran tinggi bagi menyertai Hot FM, Nazri berkata soal bayaran itu adalah privasi membabitkan mereka saja. 

"Itu antara kami berdua. Tapi apa yang kita boleh bagi, pertama ia mengenai hubungan. Saya datang dan kenal dia, bagaimana dia bermula. Jadi, dia tahu macam mana. Masa dulu dia bermula di radio pun, dia tahu latar belakang saya, kami saling mengenali. Gelak sama, gaduh sama. Duit jatuh nombor dua. Jadi, ia bukan sesuatu yang kami utamakan. Kita tak memandang ke arah itu. Ia lebih pada perhubungan. 

"Dari segi apa yang kami tawarkan, ia berbeza dan lebih fleksibel. Media Prima bukan radio saja, tapi ada banyak platform. Saya fikir apa yang dia mahukan pun adalah berbeza suasana dan budaya kerja. Macam kita kalau dah lama dalam syarikat itu, rasa macam nak rasa juga macam mana di luar atau tempat lain.  

"Macam dia pun, saya fikir nak cuba mencari sesuatu yang lebih bertenaga. Kita tahu dia pelawak dan ia bukan mudah. Kalau buat lawak yang sama orang akan bosan.

Jadi, macam dia pun perlu mencari keserasian yang baru. Jadi, dia boleh keluarkan lagi lawak dia untuk kekal relevan. Dia cakap pada saya, dia nak kekal relevan. Dia perlukan suntikan relevan itu dan boleh kekalkan populariti itu," katanya. 

Fizi yang juga bekas penyampai radio Suria FM bergandingan dengan Fad menerusi segmen Hot FM Sembang Squad, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3 petang hingga 7 malam. 

Segmen petang tampil dengan pengisian yang lebih segar dengan cerita hangat masa kini dan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita mengenai drama yang ditayangkan di TV3. 

Selain itu, pembaharuan turut dibuat membabitkan 'tagline' Kini Lebih Muzik Yang Hangat ditukar kepada Yang Hangat dan Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:35 PM