Lata Mangeshkar pengaruh besar Jubin Nautiyal.
Lata Mangeshkar pengaruh besar Jubin Nautiyal.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penghibur terkenal India, Jubin Nautiyal, 33, menjadikan penyanyi legenda, mendiang Lata Mangeshkar sebagai salah seorang penggiat seni yang mempengaruhinya mendalami bidang muzik sehingga berjaya.

Jubin yang ditemui pada sidang media secara virtual sempena konsert Jubin Nautiyal Live in Malaysia pada 26 Ogos depan berkata, ada beberapa penyanyi terkenal India yang menjadi inspirasi dan pemangkin semangat kepadanya selama ini.

"Antaranya, saya amat mengagumi Lata Mangeshkar yang semestinya salah satu nama besar dalam industri muzik India dan juga cukup dikenali di seluruh Asia. Bakatnya dalam muzik amat kuat.

"Ramai orang menyukai dan terpikat dengan melodi lagu nyanyiannya. Begitu juga, pendengar akan 'enjoy dengan setiap muzik yang dipersembahkan," katanya.

Buat julung kali mendapat peluang mengadakan konsert di Malaysia, Jubin mengakui dia sangat teruja untuk menghiburkan peminatnya di negara ini pada persembahan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre jam 8 malam itu.

Jubin yang cukup popular dengan lagu Zindagi menerusi filem Bajrangi Bhaijaan akan beraksi secara 'live' dalam konsert meganya selama dua jam tanpa henti dengan mendendangkan kira-kira 20 buah lagu pelbagai genre, baharu dan lama.

Turut diiringi 15 pemuzik berbakat yang dibawa khas dari India, Jubin amat berterima kasih kepada peminat-peminatnya yang sudah mendapatkan tiket konsert berkenaan.

Terdahulu, Jubin pernah menyertai program realiti X Factor India pada 2011.

Dia kemudian mendapat kepercayaan menyanyikan lagu bagi filem 'box-office' Bollywood antaranya Sonali Cable, The Shaukeens, Jazba dan Barkhaa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, sebagai penganjur konsert Jubin Nautiyal Live in Malaysia, pemilihan Jubin untuk dibawa membuat persembahan ke Malaysia adalah tepat.

"Jubin adalah antara penyanyi popular di India ketika ini. Namanya juga sering 'trending' di media sosial dan dia sebenarnya mempunyai ramai peminat di negara ini. Dia juga memiliki pengikut seramai 9 juta di Instagram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 4:59 PM