Bad Indigo
Bad Indigo
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Bad Indigo yang menjalani pembedahan memotong semua jari kaki kiri akibat diabetis pada Mac tahun lalu memberitahu keadaan kakinya itu sedikit bengkok dan tidak berada pada kedudukan normal.

Bad berkata, bahagian kaki yang dipotong juga mengalami lubang dan perlu sentiasa dirawat supaya tidak mengalami sebarang jangkitan kuman.

"Masalah kaki saya sekarang ini apabila dah dipotong bahagian depannya kaki saya jadi bengkok. Malah terdapat lubang terbaharu yang memerlukan saya merawatnya setiap hari supaya luka itu cepat sembuh.

"Setakat ini semuanya okey, cuma saya perlu berjaga-jaga supaya tiada jangkitan kuman pada bahagian lubang terbabit," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Bad, dia ada bercadang untuk memakai kaki palsu namun bukan dalam tempoh terdekat ini.

"Memang ada perancangan itu tapi saya kena pastikan lubang dan luka sembuh sepenuhnya. Kemudian saya kena belajar berjalan terlebih dahulu.

"Selepas itu barulah saya akan menempah apa yang patut untuk memudahkan saya berjalan. Tapi mungkin bukan dalam waktu terdekat ini," katanya yang kini bergantung kepada kerusi roda elektrik untuk bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 12:42 PM