Blackpink bakal muncul dengan album baharu pada Ogos.
Blackpink bakal muncul dengan album baharu pada Ogos.
EFE

Seoul: Kumpulan muzik K-pop popular, Blackpink bakal melancarkan album terbaharu mereka menjelang Ogos sebelum beraksi di siri jelajah dunia yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Album ini umpama satu penantian panjang di mana kali terakhir kumpulan yang dianggotai Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa itu muncul dengan album penuh pada Oktober 2020 berjudul The Album.

"Blackpink kini dalam fasa terakhir rakaman album baharu mereka. Selepas itu, mereka akan memulakan rakaman video muzik dalam bulan ini dan lancarkan single baharu pada Ogos," kata agensi mereka, YG Entertainment dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Tambah YG Entertainment lagi, kehadiran album itu akan dibuat secara besar-besaran dan akan berlanjutan sehingga penghujung tahun ini.

Siri jelajah dunia Blackpink juga digambarkan sebagai siri jelajah dunia terbesar dalam sejarah kumpulan K-pop wanita.

Jennie dan Rose juga sudah mengumumkan mengenai rakaman karya baharu di samping persiapan mereka menjelang siri jelajah dunia itu.

Tahun lalu, Rose dan Lisa masing-masing melancarkan single solo berjudul R dan Lalisa, yang mana kedua-duanya berjaya mencipta kejayaan.

Terdahulu, Blackpink diumumkan sebagai artis dengan jumlah pelanggan (subscriber) terbanyak di YouTube dengan jumlah 75 juta pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 8:55 PM