AEDY lebih selesa ambil pendekatan berdiam diri daripada melayan kerenah peminat wanitanya di laman sosial. FOTO - Arkib NSTP.
AEDY lebih selesa ambil pendekatan berdiam diri daripada melayan kerenah peminat wanitanya di laman sosial. FOTO - Arkib NSTP.
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON yang makin dikenali menerusi drama bersiri Cinta Tiada Ganti, Aedy Ashraf mengakui tidak terlepas daripada usikan dan godaan peminat wanita nakal yang mahu mendekatinya.

Aedy, 25, atau nama sebenarnya Mohammed Zaidy Ashraf Rosmadi berkata, ada di antara mereka begitu berani menulis yang bukan-bukan di Instagram.

"Perkara itu memang ada dan pada saya ia benda biasa. Ada ramai wanita yang mahu menarik perhatian saya tetapi saya hanya tengok saja gelagat mereka.

"Macam-macam perkara disentuh mereka dan saya pula lebih senang ambil pendekatan baca saja daripada menjawab.

"Takkanlah saya nak layan. Kalau saya sekat mereka atau jawab soalan yang diajukan, bermakna saya melayan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Aedy berkata, dengan memilih cara mendiamkan diri, peminat tidak dapat membuat sebarang tuduhan tidak elok terhadapnya.

"Menerusi cara ini peminat sendiri tidak pasti sama ada saya baca komen mereka atau tidak. Tidak perlulah beri sebarang respon," katanya.

Aedy yang mula berlakon sejak kecil berkata, dia berlakon bukan untuk ‘glamour’ tetapi mahu menunjukkan bakat dalam bidang lakonan.

"Saya berlakon untuk saya jadi bagus. Kalau saya dikenali disebabkan kontroversi atau benda pelik-pelik bermakna saya tidak cukup bagus. Saya masih belum puas untuk jadi pelakon yang bagus dan bukannya mahu jadi popular. Saya nak dikenali kerana bakat.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh komen jika artis berbuat demikian kerana lain orang lain caranya. Tidak dinafikan ada yang mencari perkara sebegitu dan cepat naik kerana kontroversi dan gosip," katanya.

Katanya, itu pilihan mereka kerana kadang-kadang ia membantu dalam mendapat tawaran berlakon, namun dia cuba seboleh mungkin untuk tidak berbuat demikian.

"Biarlah saya tiada tawaran berlakon kerana lakonan yang tidak bagus berbanding banyak tawaran kerana dibantu gosip murahan," katanya yang bakal muncul dengan filem Gol & Gincu Vol 2 hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 7:00 PM