Aedy Ashraf
Aedy Ashraf
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Aedy Ashraf, 30, mengagumi imej perkasa lelaki yang ada pada bekas Menteri Khairy Jamaluddin atau KJ dan mengimpikan untuk lakonkan filem biopiknya suatu hari nanti.

Aedy berkata itu antara cabaran yang baginya bukan mudah untuk dilunaskan namun merasa tidak salah menyimpan cita-cita terbabit meskipun belum tentu terjadi.

"Autobiografi atau biopik melakonkan watak hidup kerana itu satu cabaran yang sangat susah. Itu salah satu cabaran yang saya teringin nak rasakan.

"Saya rasa (nak jadi) KJ kot. Saya sukakan karisma beliau, karakternya yang sangat teguhlah sebagai lelaki. Perkara ini tak mungkin terjadilah kan tapi ini cuma satu cita-cita sayalah. Saya rasa saya nak cuba," katanya.

Menurut Aedy, dia berharap dapat menyahut cabaran sedemikian kerana selama ini rata-rata watak pernah dilakonkannya adalah fiksyen semata-mata.

"Sebab watak-watak yang saya berlakon sebelum ini kan semuanya fiksyen. Sama ada penerbit, pengarah, atau saya tetapkan sendiri kerana ia tak ada salah atau betul.

"Jadi kalau nak mainkan watak seseorang tokoh yang ada, macam mana Farid Kamil bawa Datuk Seri Anwar Ibrahim punya watak, itu sangat-sangat mencabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:16 PM