EMEER harap tuah lagu Fantasia.
EMEER harap tuah lagu Fantasia.
Sudirman Mohd Tahir


NAMANYA mungkin samar-samar diingati dalam kalangan penggemar muzik tanah air. Namun, bagi pendatang baharu, anak kelahiran Kuantan, Pahang, Emeer Bakri perjalanan seninya sudah berusia hampir dua dekad lamanya.

Bagi Emeer Bakri, 27, atau nama sebenarnya Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri, lambat dikenali bukan persoalan besar buat dirinya kerana menganggap semua itu rezeki.

"Saya mula menyanyi dari usia 10 tahun dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke di sekitar Pahang dan pada 2007 ketika berusia 12 tahun, saya menjadi finalis program realiti di TV3 iaitu Mystarz LG musim pertama dan satu-satunya peserta termuda.

"Nasib akhirnya menyebelahi saya pada 2009 apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian di TV9 iaitu Oo La La di usia 14 tahun," katanya.

Terbaharu, Emeer tampil dengan single pertamanya berjudul Fantasia di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG), sekali gus kembali mewarnai industri muzik tanah air selepas lama menyepi.

"Alhamdulillah dan terima kasih di atas peluang yang diberikan pihak pengurusan AEG, terutama Datuk KK Chua dan Puan Zeileen Yusnita kerana mempercayai bakat saya sehingga ditawarkan kontrak rakaman bersama mereka.

"Tahun lalu saya menjadi naib juara pertandingan pencarian bakat The Audition anjuran AEG dan dari situ bakat saya ditemui semula," katanya.

Selain menjadi penyanyi profesional, Emeer juga adalah Penerbit Muzik di AEG dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai kandungan berkaitan muzik.

"Saya nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita dalam bidang muzik dan dengan terlahirnya single Fantasia, ia seakan-akan memberi peluang kedua buat saya untuk menunjukkan kembali bakat yang saya ada kepada semua rakyat Malaysia.

"Melalui lagu ciptaan komposer terkenal Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves ini mampu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam menyampaikan sesebuah karya muzik.

"Proses rakaman hanya dua jam di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara dalam suasana yang 'fun' dan relaks kerana banyak ilmu yang saya timba ketika berada dalam studio bersama mereka yang profesional dan saya hormati. Lagu berdurasi tiga minit 55 saat ini jika didengar pada bait-bait awalnya sudah pun berjaya membawa pendengar seakan-seakan terawang ke dunia lain dan korusnya yang santai ala easy-jazz mudah 'ditangkap', ditambah pula dengan pukulan vokal saya yang lunak dewasa, jauh berbeza dari suara cilik yang biasa didengar dahulu," katanya.

 EMEER mahu jadi penyanyi serba boleh dalam bidang muzik.
EMEER mahu jadi penyanyi serba boleh dalam bidang muzik.

Menurut Emeer, dia ingin dikenali sebagai artis yang bukan saja berkebolehan dalam nyanyian, bahkan mampu menghasilkan karya sendiri dan mempunyai perwatakan atau sikap yang baik.

"Bagi saya, keistimewaan seseorang penyanyi itu terletak pada cara nyanyiannya yang menjadi 'signature' artis itu, apabila didengar sudah diketahui siapa yang menyanyikannya dan saya juga tidak menolak untuk bereksperimentasi dengan genre lain pada masa akan datang," katanya.

Serentak dengan pelancaran single itu adalah tayangan muzik video rasmi dengan mengangkat tema 'science fiction' dan jalan ceritanya yang agak berlainan pasti membuat ramai penonton tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku.

"Menerusi muzik video Fantasia, saya adalah anak Malaysia pertama yang masuk ke 'Black Hole' dan kalau hendak tahu lebih lanjut kena tonton!" katanya.

Selain itu, single Fantasia juga dipilih menjadi lagu tema bagi drama Setelah Terlafaznya Akad 2 yang ditayangkan di Slot Mega Drama saluran Astro Ria bermula 1 Jun lalu.

Lagu Fantasia boleh didengar melalui aplikasi penstriman muzik popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

Muzik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran rasmi YouTube Armani Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:12 AM