DARI kiri, Datuk KK Chua, Michael Ang, Sarah Ismail dan Amira Othman.
DARI kiri, Datuk KK Chua, Michael Ang, Sarah Ismail dan Amira Othman.
Sudirman Mohd Tahir


PENCARIAN bakat baharu pertandingan The Audition 2021 sudah pun berakhir yang menyaksikan Muhammad Shauqi Danial Ma'Amal Hajri muncul sebagai juara.

Seramai 20 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir yang diadakan di Atrium, The Strand Mall, Kota Damansara, baru-baru ini.

The Auditon 2021 adalah pertandingan pencarian bakat yang diterbitkan Armani Entertainment Group (AEG).

Pertandingan ini diadakan untuk mencungkil bakat peserta dalam pelbagai bidang seni seperti nyanyian, tarian, lakonan dan komedi.

Muhammad Shauqi berkata, dia tidak menjangka boleh bergelar juara kerana mendapat saingan sengit daripada finalis lain.

"Saya tak sangka menang kerana berasa persiapan dibuat hanya 60 peratus saja. Alhamdulillah, rezeki saya dan sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya memilih lagu nyanyian asal, Hafiz Suip berjudul Ku Akui dan masa agak suntuk untuk saya menggubah semula lagu itu tetapi saya nekad mempersembahkan yang terbaik pada peringkat akhir ini.

"Sebelum ini saya hanya pernah masuk pertandingan karaoke dan Battle of the Bands. Untuk perancangan selepas ini, saya akan ikut apa yang diaturkan AEG dan kemenangan ini diharap dapat merealisasikan impian saya untuk menjadi penyanyi terkenal," katanya.

Terdahulu, uji bakat The Audition membabitkan 100 peratus daripada juri dan peserta hanya melalui beberapa fasa uji bakat saja.

Pertama, mereka perlu muat naik video berdurasi lebih satu minit di Instagram masing-masing. Fasa kedua, mereka dipanggil ke sesi uji bakat bersama juri mengikut lokasi berdekatan.

Bermula pada Oktober lalu, uji bakat secara langsung diadakan di Kuala Lumpur diikuti Kuantan, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu dan berakhir di Pulau Pinang.

Pemenang The Audition 2021 menerima kontrak bernilai RM50,000 termasuk latihan dan pembangunan. Selain itu, juara akan merakam single yang disusun oleh top-chart komposer lengkap bersama dengan video muzik.

JUARA kategori penyanyi, Muhammad Shauqi Danial menerima hadiah kemenangan.
JUARA kategori penyanyi, Muhammad Shauqi Danial menerima hadiah kemenangan.

Manakala buat pelakon, pemenang akan mendapat peluang untuk bekerjasama dengan pengarah Michael Ang dalam drama terbaru arahannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AEG, Datuk KK Chua berkata, sepanjan

g tempoh uji bakat itu ternyata Malaysia memiliki ramai bakat baharu dan mereka bersemangat tinggi untuk menceburi industri hiburan negara.

"Mereka semua bercita-cita tinggi, ada misi dan visi untuk menjadi anak seni yang dikagumi ramai. Bagaimanapun mereka masih memerlukan panduan dan bimbingan untuk mengorak langkah yang lebih jauh dalam dunia seni. Untuk menempatkan diri dalam industri tidaklah terlalu sukar, namun cabaran yang mereka perlu hadapi adalah persaingan dan menempatkan diri dalam industri untuk jangka masa lama.

"Mereka perlu bersedia untuk menghadapi segala rintangan dan tekanan. Oleh itu, AEG bukan saja menyediakan platform untuk mereka mengejar cita-cita menjadi penyanyi atau pelakon yang berjaya tetapi juga akan membimbing mereka untuk berhadapan dengan cabaran sebenar," katanya.

Menggunakan tagline 'Good Talent and Great Character', dalam pencarian bakal bintang ini, AEG bukan saja mencari peserta yang berbakat tetapi juga mempunyai karakter yang bagus.

"Mereka mesti sentiasa positif, sanggup bekerja keras dan mempunyai disiplin yang tinggi. Mereka mesti memandang bidang seni adalah satu kerjaya bukan untuk suka-suka.

"AEG akan menjadi platform untuk merealisasikan impian mereka menjadi anak seni yang berjaya asalkan mereka sanggup berusaha," katanya.

Untuk memastikan program ini memenuhi kehendak pasaran hiburan tanah air yang terus berkembang maju dengan kemunculan pelbagai idea kreatif daripada penggiat seni lama dan baru, AEG melantik pengarah dan penerbit drama terkenal iaitu Michael Ang sebagai Rakan Strategik juga juri pada pertandingan akhir The Audition 2021 bersama penyanyi Amira Othman dan guru vokal, Sarah Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 6:50 AM