Konsert Anuar dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022.
Konsert Anuar dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Seperti dijangka, tiket konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 anjuran Trumpet International Sdn Bhd terjual habis dalam tempoh tiga hari saja.

Tiket konsert yang berlangsung pada 6 Ogos di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan kapasiti 2,900 itu berharga RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1,188.

"Tahniah kepada mereka yang berjaya mendapatkan tiket konsert! Konsert ini mencapai rekod sebagai satu daripada konsert habis terjual oleh penyanyi tempatan dengan jualan tiket terjual sepenuhnya dalam masa tiga sahaja!

"Anuar Zain dan Ziana Zain amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan dengan menjadikan konsert ini sebagai sebuah persembahan 'full house'. Populariti mereka sebagai penyanyi Malaysia sekali lagi terbukti," demikian kenyataan penganjur.

Terdahulu, Anuar Berkongsi keterujaannya cukup gembira apabila impian mengadakan konsert bersama kakaknya itu akhirnya menjadi kenyataan.

"Ini adalah sejarah yang cukup manis. Kali terakhir kami bergabung membuat persembahan yang sebenar adalah lebih 12 tahun lalu.

"Memang permintaan ini sudah sekian lama peminat mahu. Namun, sekarang barulah jadi kenyataan kerana masanya cukup tepat selain kata sepakat antara kami berlaku sangat mudah," katanya.

Ziana dan Anuar bakal mempersembahkan lebih 20 lagu pada konsert itu nanti. Mereka akan menyanyikan lagu popular masing-masing serta beberapa lagu duet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:29 PM