MARGOSA pilih Aepul Drama Band untuk kerjasama sulung.
MARGOSA pilih Aepul Drama Band untuk kerjasama sulung.
Georgie Joseph


Mula ditubuhkan sekitar 2018, Margosa yang dianggotai Resya Rahman selaku penyanyi, Raja Nazrin Shah (penyanyi, gitar) dan Pjay (bass) kini dalam misi menakluk pasaran arus perdana muzik tempatan.

Aktif bergerak sebagai band indie sebelum ini, Margosa tampil dengan single berjudul Cinta Pasti Bersatu untuk memikat pendengar seluruh Malaysia.

Disuntik dengan mesej berat, Resya menyifatkan lagu itu tepat dengan situasi pandemik sekarang.

"Lagu ini berkisar dua jiwa yang terpisah secara terpaksa. Lagu ini sebenarnya agak 'easy listening' dan tidak berat sangat.

"Liriknya secara keseluruhan menceritakan perpisahan tidak diduga contohnya pasangan suami isteri pada waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu," katanya.

Pjay berkata, lagu itu turut menampilkan penyanyi Drama Band iaitu Aepul Roza sebagai rakan duet. Ia sekali gus menjadi lagu kerjasama sulung buat Margosa.

"Ia satu percaturan terbaik gabungkan vokal wanita dan lelaki. Tak susah sebenarnya nak serasikan gabungan vokal Aepul dan Resya. Memang awalnya demo lagu ini lain berbanding hasil akhir sekarang. Dengan bantuan Afif, dia mencantikkan lagi serta asah sempurna nadanya supaya kedengaran lebih indah.

"Bekerja dengan Aepul pula, dia seorang yang fleksibel, profesional dan memberi input yang sangat membantu. Dia menjadikan hasilnya bertambah lebih baik, sekali gus memudahkan lagi sebenarnya proses mencapai kesatuan vokal terbaik," katanya.

Menerusi karya ciptaan Raja Nazrin Shah ini, Margosa memilih untuk tampil dengan genre berentak balada.

Bagaimanapun, mereka tidak meletakkan satu-satu genre terhadap hala tuju muzik mereka sebaliknya ingin dikenali dengan corak karya menyentuh emosi.

DUET yang mendayu antara Resya dan Aepul.
DUET yang mendayu antara Resya dan Aepul.

Resya berkata, lagu itu menggambarkan hala tuju muzik dan identiti Margosa di mana mereka suka menitikberatkan elemen emosi dalam karya mereka.

"Tapi, kami bukan band yang memperjuangkan genre sebagai hala tuju utama. Cumanya disebabkan lagu ini lagu sedih, senang untuk kami menyalurkan mesejnya dalam melodi balada. Kalau dengar album terdahulu kami, lagu kami ada yang bukan berentak balada, namun mesejnya masih mendalam sebagaimana lagu ini," katanya.

Menurut Raja Nazrin Shah, mereka sebenarnya sentiasa pelbagaikan rentak lagu dihasilkan. Tunjang utama setiap lagu yang dihasilkan mereka adalah terus mengekalkan identiti Margosa itu sendiri.

"Sebelum ini, kami memang banyak bermain pelbagai genre muzik. Bagaimanapun, pada masa akan datang, kami akan terokai emosi muzik yang lebih variasi. Sekarang ini, pendengar kami lebih sebati dengan muzik yang boleh cetuskan emosi sebegitu," katanya.

Katanya, lagu itu sudah dicipta sejak 2010 dan awalnya dihasilkan untuk penyanyi wanita. Tapi, dia putuskan untuk menyimpan lagu ini kerana yakin, semakin lama disimpan, suatu hari nanti akan tiba masanya ia mampu dicantikkan dengan lebih baik.

"Saya rasa sekarang memang paling tepat dan kena pada waktunya untuk lagu ini dilancarkan. Susunan muzikal pada 2010 pun cukup berbeza dengan komposisi sekarang. Kami pun bekerja dengan penerbit hebat seperti AG Coco, Afif dan Aepul, magisnya menjadi," katanya.

Katanya, persiapan lebih banyak tertumpu kepada memperkemas bahagian vokal.

Resya turut menghadiri tiga kelas vokal bersama Afif sebelum rakaman sebenar.

Resya berkata, ia satu pengalaman baharu yang sangat membantu daripada segi penghayatan.

"Walaupun saya sendiri yang menulis liriknya, tetapi cara Afif interpretasi lagu itu jauh lebih baik daripada interpretasi saya. Lebih menarik, dia mengajar saya bagaimana untuk ekspresikan emosi tanpa kedengaran seperti cuma syok sendiri," katanya.

Pjay mengakui kerjasama sulung bersama penyanyi lain itu cukup membawa makna besar. Ia kelainan baharu yang Margosa bawakan, lebih dinamik dari segi laras vokal serta susunan muzik untuk perkenalkan mereka kepada pasaran arus perdana.

Walaupun baharu menapak dalam arus perdana, Margosa sudah memiliki pencapaian cukup membanggakan termasuk menjuarai Anugerah Lagu Indie 2020 menerusi lagu berjudul Penawar.

Mereka berjaya menewaskan 12 peserta lain dalam pertandingan itu.

Tahun lalu, Margosa turut melancarkan album pengenalan berjudul The Phase. Mereka juga terpilih menjadi artis sokongan kepada siri jelajah kumpulan Tiny Moving Parts pada 2020 dan membuat persembahan di luar negara antaranya Singapura, Thailand dan Vietnam.

Cinta Pasti Bersatu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 6:20 AM