RUMAH shuk.
RUMAH shuk.

Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara popular, Shuk Sahar mahu menjual rumahnya yang terletak di Denai Alam, Shah Alam dengan harga RM1.2 juta kerana memerlukan wang.

Shuk, 37, atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar dalam hantaran video dimuat naik pengguna di TikTok berkata, dia perlu menjual rumah itu bagi meneruskan kehidupan dan memulakan sesuatu yang baharu.

"Saya memang perlukan duit untuk teruskan kehidupan dan mulakan benda-benda baru, sebab itu perlukan duit. Jadi sesiapa yang rasa berkemampuan nak tengok rumah dan tengah cari rumah di Elmina Ferrea boleh mesej (DM) saya di Instagram untuk tengok rumah.

"Saya juga sudah lantik ejen bagi membantu menjual rumah ini. Rumah ini sudah habis buat (ubahsuai) semuanya. Ada bilik main snuker. Saya nak jual RM1.2 juta," katanya.

Menerusi hantaran sama, Shuk menafikan dia perlukan wang untuk berkahwin baharu.

"Mana ada perlukan duit nak kahwin. Insya-Allah kalau nak kahwin lagi satu masih lagi ada duit. Yang nak faham, akan faham, yang tak nak faham tidak apa," katanya menjawab soalan sinis warganet.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan daripada Shuk tidak berjaya apabila mesej dan panggilan telefon tidak berjawab.

Ini bukan kali pertama Shuk cuba mengelak daripada memberikan kerjasama sebaliknya dia selesa memilih medium media sosial untuk bersuara.

Status rumah tanga Shuk dan isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Rossa Sera masih menjadi tanda tanya selepas isterinya mahu memfailkan perceraian pada November tahun lalu.

Ia selepas Shuk didakwa beberapa kali 'kantoi' berlaku curang dengan wanita bernama Farah Salleh.

Shuk mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015 dan dikurniakan dua anak iaitu NurQurratu Ain, 5, dan Nur Assyifatu Aimi, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 10:54 AM