IRFAN akui masih bereksperimentasi bagi mencari lagu yang bersesuaian dengan dirinya.
IRFAN akui masih bereksperimentasi bagi mencari lagu yang bersesuaian dengan dirinya.
Zaara Talita

PENYANYI Irfan Haris yang menempa nama menerusi lagu Redha mengakui masih bereksperimentasi bagi mencari lagu yang bersesuaian dengan dirinya.

Irfan yang memulakan kerjaya seni menerusi program Idola Kecil pada 2011 dan Ceria Pop Star dan Big Stage 2 pada 2019, kini mahu mengatur langkah dalam kerjaya seni dengan single baharu yang berjudul Milik.

Dengan memiliki vokal yang unik, anak muda yang berasal dari Johor Bahru itu tampil dengan buah tangan terbaharu selepas single terakhirnya yang bertajuk Patung.

Irfan atau pemilik nama penuh, Irfan Haris Othman, 20, mempertaruhkan single berentak pop moden ciptaannya sendiri bersama barisan komposer tanah air seperti Mike Chan, Ajay Amai, Nick Ariff, Glow Rush, Nappie Hassan dan Kaler-J.

"Lagu ini berkisar mengenai kisah percintaan membabitkan persahabatan antara dua rakan baik yang akhirnya hubungan mereka menjadi lebih istimewa.

"Pada kali ini saya membawakan genre pop moden yang tak pernah saya nyanyikan. Namun, saya cuba demi memberikan kelainan dan mencuba sesuatu yang baharu serta mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

"Lagu ini turut memaparkan sisi vokal yang lebih matang yang bertepatan dengan usia saya sekarang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai single Milik, Irfan berkata, proses rakaman single ini hanya memakan masa empat jam. Berbeza dengan rakaman lagu sebelum ini, Irfan berpendapat lagu ini serasi dengan jiwanya.

Tambah Irfan, muzik video (MV) Milik sudah menjalani proses penggambaran sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan hanya mengambil masa sehari untuk disiapkan.

MAHU fokus kepada pelajaran terlebih dahulu.
MAHU fokus kepada pelajaran terlebih dahulu.

"Saya sangat teruja dengan konsep MV ini yang memaparkan kisah cinta di kolej, di mana saya percaya ramai remaja pernah berdepan situasi sebegini.

"MV lagu ini sangat ringkas, namun pasti memberi impak terhadap sesiapa yang menontonnya," katanya.

Penuntut tahun akhir jurusan diploma dalam bidang seni hiburan di Kolej Damansara Utama (KDU) ini memilih untuk memberi fokus kepada pelajaran terlebih dahulu.

"Pihak pengurusan Rocketfuel tidak pernah menghalang hasrat saya yang ingin meneruskan pelajaran dan mereka sangat memahami kehendak saya yang mahu menimba ilmu terlebih dahulu.

"Bayangkan PKP, saya terpaksa melakukan aktiviti kuliah secara atas talian seperti berlakon, menyanyi dan menari. Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah untuk mudah untuk dilakukan," katanya.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata, pihaknya memahami kehendak Irfan yang ingin memberi fokus terhadap bidang pelajaran dan sudah menyusun jadual seni sebaik mungkin supaya tidak bercanggah dengan waktu kuliah Irfan.

"Sebagai penyanyi muda, Irfan ada potensi dan gaya vokal yang tersendiri dan dengan kemunculan Milik dapat mengubat hati peminatnya yang selama ini ternanti buah tangan terbaharu darinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:25 AM