SYAZWAN teruja dengan single sulung, Salahkahku.
SYAZWAN teruja dengan single sulung, Salahkahku.
Sudirman Mohd Tahir

Pendatang baharu yang juga juara pertandingan nyanyian Penyanyi Top ERA Kucate pada Februari lalu, Syazwan Syahmi muncul dengan single sulung berjudul Salahkahku yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

Syazwan, 23, atau nama sebenarnya Syazwan Syahmi Muhammad Rosdi berkata, dia bersyukur atas kemenangan diraih, sekali gus membuka ruang untuknya melangkah dalam industri muzik tanah air.

"Syukur Alhamdulillah di atas kemenangan ini kerana ia membuka ruang buat saya untuk tampil dengan single terbaharu di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

"Selain memenangi wang tunai RM5,000, sekali gus saya menerima kontrak rakaman bersama-sama Rocketfuel Entertainment," katanya.

Syazwan yang berasal dari Kelantan juga pelajar lulusan diploma dalam bidang ukur bahan (quantity surveyor) berkata, pelajaran perlu diutamakan sebelum memilih untuk terbabit dalam bidang seni.

"Saya sedar pentingnya pelajaran, sebab itu saya habiskan dahulu pengajian di peringkat diploma dan mencuba bidang nyanyian selepas tamat belajar.

"Minat menyanyi pula bermula ketika saya berusia 14 tahun. Pada awalnya saya suka bermain gitar. Tidak menjangka minat itu beralih kepada nyanyian dan dari situ timbulnya minat yang mendalam dalam bidang ini.

"Sejak itu saya sering menghasilkan video nyanyian semula atau 'cover version' di YouTube dan menyertai pelbagai pertandingan karaoke sehingga muncul juara Penyanyi Top ERA Kucate," katanya.

HARAP lagu Salahkahku diterima baik.
HARAP lagu Salahkahku diterima baik.

Berkongsi mengenai single Salahkahku, ia adalah hasil ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul dan lirik oleh Que Afiq yang menceritakan mengenai kisah cinta yang sedih.

"Lagu ini bermaksud pertanyaan seseorang terhadap dirinya sendiri kerana mencintai seseorang dan sering meragui apakah tindakannya itu betul. Pernah tak kita berhadapan dengan situasi di mana kita sering bertanya pada diri sendiri apakah salah mencintai seseorang? Dan betulkah keputusan yang kita buat?

"Proses rakaman memakan sehari di Studio Musicwerks banyak memberi pengalaman baharu buat saya. Saya seronok ketika berada di studio milik kak Sharon kerana segala-segalanya baharu buat saya.

"Tentu saja pengalaman merakamkan lagu ini sangat bermakna apabila diselia oleh komposer disegani kerana banyak perkara yang saya pelajari. Apatah lagi perjalanan seni saya masih jauh, jadi banyak lagi yang perlu saya timba," katanya.

Lagu bergenre balada ini mempunyai unsur rock yang disesuaikan dengan vokal Syazwan yang mempunyai nada yang tinggi.

"Saya mahukan sebuah lagu yang mencerminkan jiwa saya kerana ingin pendengar merasai emosi yang saya bawakan melalui nyanyian. Jika nyanyian saya dapat membuat pendengar sedih, itu sudah lebih dari menggembirakan saya.

"Mungkin terlalu awal untuk saya labelkan ingin menjadi penyanyi macam mana, namun saya tidak menolak untuk mencuba genre yang lain kerana dunia muzik ini luas dan banyak cabang.

"Menerusi lagu ini juga adalah pengalaman baharu buat saya merakamkan video muzik dan agak kekok rasanya beraksi di hadapan kamera berbanding dengan rakaman YouTube yang sering saya buat sendiri.

"Saya hanya berharap lagu ini bakal mendapat tempat di hati pendengar dan semoga ramai penggemar muzik dapat menerima lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 6:20 AM