AVAA bersama anaknya.
AVAA bersama anaknya.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon Avaa Vanja, 42, berjaya menghalang anaknya dibawa ke luar negara menerusi hak penjagaan sementara (interim) selepas memfailkan cerai terhadap bekas suami, Aamil Sulaiman pada 2 Disember tahun lalu.

Peguam mewakili Avaa berkata anak guam mereka dan suaminya sudah menjalani proses sulh hadhanah dan sebutan pertama kes cerai mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu.

Malah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini turut membenarkan permohonan injuksi Avaa bagi menghalang Aamil daripada membawa anak perempuan mereka ke luar negara.

"Anak guam memohon agar diberi hak penjagaan, sementara menunggu permohonan hadhanah penuh diputuskan kerana khuatir kebajikan dan akidah anak terabai sekiranya tidak dijaga olehnya.

"Avaa juga memfailkan injunksi bagi menghalang anaknya dibawa keluar negara oleh suaminya yang turut mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat. Anaknya juga mempunyai kewarganegaraan negara itu," kata peguam mewakili Avaa.

AVAA (tiga dari kiri) bersama pasukan peguam.
AVAA (tiga dari kiri) bersama pasukan peguam.

Pelakon wanita itu berharap keputusan pihak mahkamah dan tindakan undang-undang yang diambil dapat meletakkan noktah kepada kemelut rumah tangganya. 

Malah, dia juga berharap semuanya dipermudahkan dan segala urusan dapat diselesaikan dengan lancar. 

Terdahulu, pelakon Kampung Pisang Bersiri-Siri ini tampil membuat laporan polis mendakawa dia dan anaknya menjadi mangsa penderaan suami pada Oktober tahun lalu.

Avaa dan Aamil mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia sepuluh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 5:22 PM