Syafil Syazwan Jefri

Shah Alam: Sesi memberi keterangan saksi kes tuntutan fasakh oleh isteri pelakon Afiq Muiz, Pachara Apin kepada pelakon itu, ditunda dan akan disebut semula pada 15 Jun depan.

Peguam Afiq, Mohd Yazit Sa'at berkata, pihak mahkamah membenarkan untuk pihaknya memasukkan satu pembelaan selepas Afiq mengaku tidak menerima sebarang notis tuntutan cerai dan fasakh daripada pihak peguam Pachara.

"Pihak mahkamah membenarkan kami untuk masukkan satu pembelaan. Jadi, kes akan bermula semula dan kita akan masukkan pembelaan secara bertulis kepada mahkamah. Kita akan failkan satu jawapan kepada pembelaan itu.

"Anak guam saya mendapat tahu mengenai surat tuntutan cerai itu melalui laporan media," katanya.

Ditanya mengenai kiriman mesej dan panggilan telefon yang dibuat pasukan peguam Pachara selepas Afiq enggan memberi kerjasama untuk memberikan alamatnya, Yazit berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat mengenainya.

"Saya tak dimaklumkan mengenai maklumat itu," katanya.

Afiq yang tergesa-gesa menuju ke kereta sejurus selepas keluar dari dewan mahkamah, enggan mengulas lanjut.

"Saya tak boleh komen apa-apa. Saya serahkan semuanya kepada mahkamah," katanya.

Turut kelihatan, adiknya yang juga pelakon, Aishah Azman hadir menjemputnya menaiki kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 1:28 PM