Chansung
Chansung
Agensi

Seoul: Penyanyi dan pelakon Chansung, 31, mengumumkan tunangnya hamil dan merancang berkahwin secepat mungkin pada awal tahun depan serta memutuskan keluar dari agensi JYP Entertainment.

Chansung yang juga anggota 2PM berkata, dia sudah lama menjalinkan hubungan bersama pasangannya itu, namun tidak berhasrat mendedahkan identiti wanita berkenaan.

"Insan ini menjadi penenang di kala hati saya tidak stabil, seorang yang saya boleh kongsi apa saja perkara sejak dulu, dan menjadi kekasih saya.

"Sewaktu bersiap dan merancang perkahwinan selepas saya tamatkan khidmat tentera, rezeki kami (anak) tiba lebih awal tanpa dijangka. Kami perlu berhati-hati kerana dia masih berada di peringkat awal kehamilan.

"Tapi saya mahu kongsi berita ini terlebih dulu kerana kamu semua perlu tahu. Pasangan saya bukan dalam bidang yang sama dengan saya (seni) dan semoga semua memahami keputusan untuk tidak mendedahkan dirinya," katanya. 

Chansung juga reda dengan penamatan kontrak bersama JYP Entertainment kerana paling penting adalah untuk dia memberi fokus terhadap masa depan berkeluarga buat masa sekarang. 

"Kontrak saya bersama JYP Entertainment yang menaungi saya selama 15 tahun akan berakhir pada Januari nanti. Saya mengadakan perbincangan menyeluruh dengan syarikat itu untuk memilih haluan sendiri.

"Keputusan itu disepakati dengan memberi keutamaan pada masa depan saya dan agensi merestuinya. Belum ada perancangan pasti untuk saya, tapi saya akan kongsikan kepada peminat supaya tidak risau," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 9:07 PM