Penyanyi kumpulan Lefthanded, Datuk Nash. FOTO Hazreen Mohamad
Penyanyi kumpulan Lefthanded, Datuk Nash. FOTO Hazreen Mohamad
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Penyanyi kumpulan rock Lefthanded, Datuk Nash meminta sebilangan netizen agar bijak mengeluarkan kenyataan membabitkan kualiti nyanyiannya pada masa ini.

Menurutnya, pada usianya 63 tahun sekarang, peminat tidak boleh berharap nyanyiannya akan sama seperti zaman mudanya pada tahun 1985 atau 1986.

"Kalau ada antara netizen kata saya dah tak boleh menyanyi, maknanya mereka kurang cerdik. Kamu bercakap mengenai orang yang berusia lebih 60 tahun.

"Kamu jangka saya nak menyanyi seperti era 1980-an, itu kurang cerdiklah. Dah tentu saya tak ke laut kerana saya ada jiwa. Ini yang saya nak beritahu awal-awal.

"Saya tak kisah kalau ada yang nak kecam saya dari segi nyanyian tak sampai atau sebagainya. Yang paling pentingnya kita susun, kena bekerja dengan rapat bersama Man Kidal dan Pengarah Muzik Rio Rasul," katanya ditemui di Lagend Studio, sempena promosi Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra di sini, semalam.

Nash berkata, kalau bercerita berkenaan penyanyi Barat pun, mereka turut buat perubahan pada lagu mengikut faktor umur.

"Ia perkara biasa. Yang paling pentingnya jiwa, nostalgia akan datang bersama lagu-lagu ini. Kita akan terjemahkan dalam konsert itu nanti.

"Saya cakap begini kerana ada terbaca komen-komen netizen di media sosial yang mempertikaikan artis-artis lama kononnya dah tak boleh menyanyi dan sebagainya.

"Kalau menyanyi pun mikrofon bagi orang. Saya tak pernah bagi mikrofon pada penonton. Malah saya akan menyanyi sama. Yang pasti dah tentu 'arrangement' (susunan) lagu akan ikut usia saya," katanya.

Lefthanded yang dianggotai Man Kidal (gitar), Nash (penyanyi) dan Hafiz Dayak (dram), yang juga anak bekas pemain dram Lefthanded, Allahyarham Man Dayak akan menjayakan Konsert Lefthanded 40 Tahun Bersama Orkestra pada 3 Jun di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd ini akan turut menampilkan Ritz (gitar), Rio Rasul (keyboard), Fly (bass) dan penyanyi Yazid Lovehunters dan Hazama bagi memantapkan lagi konsert terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 1:19 PM